Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi, perbicaraan mula Januari ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Siti Bainun Ahd Razali bagi mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pembelaan dalam prosiding bela diri pengasas Rumah Bonda itu.

Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi, bicara mula Januari
Siti Bainun Ahd Razali didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. (Gambar Bernama)

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian setelah mendapati rakaman percakapan saksi-saksi tersebut yang dibuat oleh pihak polis semasa siasatan adalah terlindung.

“Selain itu, kenyataan (rakaman percakapan) tersebut tidak boleh diterima dalam keterangan kecuali untuk tujuan mencabar kebolehpercayaan saksi di bawah Seksyen 155 Akta Keterangan 1950 dan Seksyen 113(2) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan beberapa pengecualian yang lain,” katanya.

Izralizam berkata saksi-saksi yang ditawarkan pendakwaan adalah tersedia dan boleh ditemu bual oleh pihak pembelaan, jadi tidak akan berlaku salah laksana keadilan.

“Saya dengan ini menolak permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 KPJ bagi kesemua 15 saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pihak pembelaan,” katanya.

Bagi permohonan pihak pembelaan untuk memanggil semula tiga saksi pendakwaan, Izralizam berkata beliau akan mempertimbangkan permohonan tersebut dan meminta pihak pembelaan memuktamadkan tujuan serta alasan untuk memanggil saksi berkenaan.

“Mahkamah mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk meneliti permohonan tersebut jika mendapati ia untuk melengahkan proses bicara, remeh dan menyusahkan atau sebaliknya.

“Perintah akan dibuat setelah saya memperoleh dan meneliti senarai saksi yang lengkap beserta tujuan serta alasan untuk memanggil semula saksi-saksi tersebut. Kedua-dua pihak mempunyai masa yang cukup untuk berbuat demikian kerana perbicaraan kes ini akan bermula tahun depan,” katanya.

Tiga saksi berkenaan ialah bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, Pegawai Penyiasat Bahagian Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur Rohaini Baharom dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Izralizam kemudian menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 25 hari iaitu pada 5, 6, 16, 17, 18, 19, 20, 26 dan 27 Jan 2023; 20, 21, 22, 23, 24, 27 dan 28 Feb 2023 serta 6, 7, 8, 9, 10, 27, 28, 29 dan 30 Mac 2023.

Pada 24 Nov lepas, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan