KUALA LUMPUR: Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad kekal membela diri di Mahkamah Sesyen di sini pada Januari depan atas pertuduhan rasuah berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.
Keterangan bela diri pasangan suami isteri itu dan saksi-saksi pembelaan dijadualkan didengar pada 3 Januari serta 9 hingga 13 Januari 2023.
Perkara itu ditetapkan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap permohonan pasangan suami isteri itu.
Ini bermakna, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya gagal dalam usaha untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas pertuduhan rasuah.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersetuju dengan penghujahan pihak pendakwaan selaku responden dan membenarkan bantahan awal yang dikemukakan.
Mahkamah Tinggi mendengar penghujahan kedua-dua pihak pada 11 November lalu manakala Bung Moktar dan Zizie Izette memfailkan semakan secara berasingan pada 2 September lalu.
Pada prosiding tersebut, pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd. Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala pasangan itu diwakili peguam M. Athimulan dan Datuk K. Kumaraendran.
Pada 17 Oktober lalu, pihak pendakwaan berhujah, pasangan suami isteri itu menggunakan tatacara yang salah dari segi undang-undang ketika memfailkan permohonan semakan melalui notis usul.
Chin How menyatakan, permohonan melalui notis usul itu bertentangan dengan Seksyen 35 dan 36 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).
Seksyen 325 dan 326 CPC dibaca bersama Seksyen 35 dan 36 CoJA memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil dan memeriksa mana-mana rekod prosiding.
“Tindakan pihak pembelaan memfailkan permohonan semakan melalui notis usul seolah-olah `memaksa’ mahkamah untuk mendengar permohonan semakan, walhal tindakan memanggil rekod prosiding adalah budi bicara mahkamah,” ujar Chin How.
Bung Moktar dan Zizie Izette antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan mereka perlu membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.
Dalam permohonan itu, pasangan itu memohon perintah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan yang disampaikan oleh Mahkamah Sesyen.
Kedua-dua pemohon berkata, hakim yang mendengar pembicaraan mereka terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi utama dalam kes itu.
Pada 2 September lalu, Hakim Rozina Ayob memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Pasangan suami isteri itu dijadual memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoal mereka semasa pemeriksaan balas.
Pada 23 September lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan pasangan suami isteri itu menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya didengar di Mahkamah Sesyen sementara menunggu permohonan semakan jenayah diputuskan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN
0 Ulasan