MAUMERE: Jumlah korban akibat tragedi kebakaran kapal di timur Indonesia meningkat kepada 17 orang, selepas tiga mayat lagi ditemui di laut sehari selepas kejadian.
Anggota Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia menemui mangsa tragedi kebakaran kapal di perairan Nusa Tenggara Timur. - Foto EPA |
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Tempatan, I Putu Sudayana, berkata pasukannya turut menemui 312 penumpang yang terselamat dalam insiden itu.
"Angka kematian meningkat daripada 14 orang yang ditemui sebelum ini selepas tiga mayat dibawa keluar dari laut sehari selepas kejadian," katanya.
Kapal KM Express Cantika 77 yang membawa ratusan penumpang terbakar di luar pantai Pulau Timor di wilayah Nusa Tenggara Timur pada Isnin lalu.
Pasukan penyelamat Indonesia mengangkat mangsa bot terbakar. - Foto EPA |
Kebakaran dikatakan bermula di bahagian atas dek kapal ketika dalam perjalanan dari ibu kota wilayah Kupang ke bandar Kalabahi di Pulau Alor.
Akibat kebakaran itu, ramai penumpang bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.
Semalam, pihak berkuasa mengesahkan seramai 14 penumpang maut selepas kapal yang dilaporkan berlepas dari Kupang di Nusa Tenggara Timur dan berada lebih 100 kilometer dari Kalabahi, terbakar.
Pasukan penyelamat membawa mangsa yang cedera. - Foto EPA |
Pada masa sama, I Putu berkata, operasi mencari dan menyelamat dijangka diteruskan sehingga minggu depan berikutan jumlah keseluruhan penumpang masih belum dapat disahkan.
"Ia tidak jelas, kerana kita masih tidak pasti berhubung jumlah penumpang," katanya kepada AFP.
Sementara itu, Ketua Agensi Pengangkutan Nusa Tenggara Timur, Isyak Nuka, pula berkata, jumlah mangsa terselamat yang ditemui adalah jauh lebih tinggi berbanding kapasiti kapal itu yang sepatutnya hanya dinaiki 167 penumpang.
Pasukan penyelamat Indonesia membawa mangsa yang selamat dalam kejadian bot terbakar. - Foto Reuters |
"Kami belum tahu berapa ramai lagi penumpang yang berada di dalam kapal, kerana bilangan yang terselamat lebih tinggi daripada jumlah penumpang," katanya.
Nahas laut dilaporkan biasa berlaku di perairan Indonesia yang dikelilingi 17,000 pulau berikutan piawaian keselamatannya yang longgar.
Pada 2018, lebih 150 penumpang lemas apabila sebuah feri dilaporkan karam di satu daripada tasik terdalam di dunia di Pulau Sumatera. - AFP.
0 Ulasan