KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersikap pilih kasih apabila tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sewaktu krisis kepimpinan negeri berkenaan pada bulan lalu.
Beliau berkata, ia menunjukkan seolah-olah wujud amalan pilih bulu dalam menentukan bentuk hukuman terhadap ahli UMNO yang melanggar disiplin parti.
Menurutnya, lima wakil rakyat itu jelas melanggar keputusan parti meskipun tidak dipanggil memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin UMNO.
“Saya nampak macam wujud sikap pilih kasih atau ‘double standard’ kerana lima ADUN Sabah berkenaan secara terang melanggar arahan parti.
“Bagaimanapun, sehingga kini MKT dan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) gagal mengambil sebarang tindakan terhadap lima ADUN berkenaan,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Kehadiran Ismail Sabri (dua kiri) ke program kempen pilihan raya KJ di Sungai Buloh baru-baru ini menarik perhatian rakyat. Ismail Sabri mendakwa, isu tersebut juga tidak diberi perhatian pucuk kepimpinan parti biarpun Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membangkitkannya dalam mesyuarat MKT baru-baru ini.
“Perkara berkenaan dibangkitkan oleh Bung Mokhtar dalam mesyuarat MKT, tetapi jawapan daripada Presiden adalah beliau akan berjumpa dengan kesemua pimpinan UMNO Sabah.
“Beliau memang ada jumpa mereka baru-baru ini, namun sehingga kini masih tiada perkembangan lanjut,” katanya.
Pada 8 Januari lalu, lima ADUN berkenaan iaitu ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya; Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) telah mencetuskan kontroversi dalaman UMNO Sabah apabila menandatangani akaun bersumpah (SD) bagi menyokong Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.
Perkara tersebut jelas membelakangi keputusan UMNO Sabah diketuai Bung Moktar yang sebulat suara menarik sokongan terhadap kepimpinan Hajiji yang didakwa tidak selari dengan Fasal 6 (3) dan (7) Perlembagaan Negeri Sabah pada 6 Januari lalu.
Berikutan itu, timbul spekulasi bahawa mereka bakal dipecat atau digantung keahlian dalam mesyuarat MKT yang berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Mesyuarat MKT berkenaan tidak membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan lima ADUN yang telah mengkhianati UMNO Sabah.
Keputusan itu jelas bertentangan dengan keputusan MKT pada hari sama yang memutuskan untuk memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar atas kesalahan pelanggaran peraturan parti sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain Khairy dan Noh, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif digantung keahlian selama enam tahun.
0 Ulasan