Mahkamah timbang tara di Perancis telah mengarahkan Malaysia untuk membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.6 bilion) kepada pewaris Sultan Sulu.
Keputusan itu difahamkan diambil selepas penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mendapati kerajaan Malaysia telah melanggar perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Sulu, Sultan Jamal Al Alam bersama Baron de Overbeck dan Alfred Dent dari Syarikat Borneo Utara British (SBUB) pada 22 Januari 1878.
Menurut Malaysiakini yang memetik laman berita Sepanyol, La Información, arahan itu dikeluarkan Gonzalo Stampa sewaktu perbicaraan tuntutan di mahkamah timbang tara di Paris.
Jelas Stampa, perjanjian yang dilakukan pada 1878 adalah satu “perjanjian pajakan swasta antarabangsa” komersial. Justeru tindakan kerajaan Malaysia tidak membayarnya adalah satu perlanggaran.
Kenyataan ini dilihat merujuk kepada tindakan kerajaan Malaysia yang menghentikan pembayaran wang serahan berjumlah RM5,300 setahun kepada peguam yang mewakili sembilan waris Kesultanan Sulu pada 2013 selepas pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.
Menurut laporan sama, kerajaan Malaysia kini hanya mempunyai tiga bulan untuk membayar jumlah berkenaan atau perlu menanggung faedah, melainkan arahan itu dibatalkan.
Pewaris Sultan Sulu mulanya tuntut AS$32 Billion
Menggelarnya sebagai “arbitrasi terbesar di Sepanyol”, artikel dari La Informaction itu turut melaporkan waris Sultan Sulu diwakili firma dari Sepanyol, B Cremades & Asociados dan firma di UK Paul Cohen and Elisabeth Mason telah menuntut AS$32.2 bilion (RM135.08 bilion) daripada Malaysia.
Ini menurut mereka adalah wang serahan yang belum dibayar (sejak 2013) dicampur dengan jumlah hasil minyak dan gas yang ditemui di Sabah.
Malaysia tidak diwakili dalam perbicaraan
Menerusi laporan Global Arbitration Review, Malaysia yang tidak diwakili dalam perbicaraan timbang tara di Paris bagaimanapun akan mencabar kesahihan Stampa untuk mendengar kes itu dan mahu ia dibicarakan di mahkamah jenayah.
Mahkamah Tinggi Madrid sebelum ini telah membatalkan pelantikan Stampa atas alasan bahawa Malaysia tidak dimaklumkan dengan betul mengenai kes itu sekaligus “tidak dapat mempertahankan diri” sewaktu kes berkenaan dibicarakan buat kali pertama. Kes kemudian dipindahkan ke Paris.
Peguam Negara akan beri kenyataan dalam masa terdekat – PM
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sebentar tadi memaklumkan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan Wisma Putra dan Pejabat Peguam Negara berhubung isu berkenaan.
0 Ulasan