CHENGDU - CHINA. Cubaan seorang anggota polis untuk menunda kereta mewah BMW tidak berjaya apabila dia diserang oleh orang awam, anggota keluarga dan pemilik kereta terbabit.
Ketegangan tersebut hanya dapat dileraikan setelah beberapa anggota polis dikerah ke lokasi kejadian |
Memetik laporan Shanghaiist.com, insiden tersebut berlaku baru-baru ini di sebuah jalan di daerah tersebut.
Difahamkan, anggota keselamatan itu tidak membenarkan kereta tersebut diparkir di tepi jalan kerana mengganggu lalu lintas jalan.
Anggota polis itu dilaporkan meminta pemilik kenderaan, He Tao untuk mengalihkan keretanya.
Pada mulanya Tao akur dengan permintaan anggota tersebut lalu memandu pergi dan meninggalkan kawasan itu.
Bagaimanapun setelah beberapa ketika, Tao kembali semula dan memarkir kenderaannya di tempat sama.
Tao diberitahu sekali lagi untuk mengalihkan kenderaannya dan kejadian sama berulang sekali lagi.
Anggota polis tersebut akhirnya bersemuka dengan Tao sebelum memeriksa nombor pendaftaran kereta berkenaan.
Kereta tersebut dikatakan terpaksa ditunda setelah Tao didapati gagal mematuhi rutin pemeriksaan kenderaan secara mandatori.
Tao juga didapati melakukan kesalahan setelah gagal mempamerkan lesen memandu apabila diminta.
Keadaan menjadi tegang apabila tiga ahli keluarga Tao membuat kekecohan dan menjerit mengatakan mereka diserang oleh anggota polis itu.
Orang ramai yang menyedari kejadian terus menyerang anggota polis itu dan beberapa anggota keselamatan lain yang tiba di tempat kejadian untuk membantu rakan mereka.
Mereka dilaporkan ditahan, dipukul malah ditampar oleh seorang wanita yang berada di tempat kejadian.
Ketegangan tersebut hanya dapat dileraikan setelah beberapa anggota polis dikerah ke lokasi kejadian.
Kesemua ahli keluarga Tao yang terlibat dan juga wanita terbabit ditahan oleh pihak berkuasa untuk siasatan. - Sinar Online
0 Ulasan