China, mengikuti strategi 'sifar COVID' dengan memperketat sekatan sempadan, kuarantin lebih lama dan mengenakan perintah berkurung bersasar. - Foto AFP |
China, di mana virus COVID-19 itu mula menular dua tahun lalu, mengikuti strategi 'sifar COVID' dengan memperketat sekatan sempadan, kuarantin lebih lama dan mengenakan perintah berkurung bersasar sebagai persediaan republik itu menerima ribuan pelawat asing sempena Sukan Olimpik musim sejuk pada Februari depan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berdepan 'kebangkitan semula' virus berkenaan pada beberapa minggu lalu, apabila dilapor merekodkan 209 jangkitan hari ini.
Angka itu adalah paling tinggi pernah direkodkan sejak Mac tahun lalu, apabila pandemik menular di segenap pelosok pusat bandar Wuhan.
Walaupun berlaku peningkatan mendadak di republik itu, ia dianggap rendah berbanding dengan kes berleluasa di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Begitupun, situasi itu mendorong pihak berkuasa menguatkuasakan apa yang mereka gelar sebagai langkah kekangan 'lebih ketat' di utara bandar Xi'an yang memiliki populasi seramai 13 juta orang.
Penduduk di situ sudah menjalani perintah berkurung selama enam hari.
Susulan itu, bandar berdekatan lain seperti Yan'an yang terletak 300 kilometer (km) dari Xi'an pada hari ini, mengumumkan penutupan premis perniagaan selain mengarahkan ratusan ribu orang dalam satu daerah untuk kekal berada dalam rumah.
Perintah berkurung di Xi'an adalah paling meluas di China selepas Wuhan yang memiliki saiz hampir sama turut dikenakan langkah sama.
Menurut laporan stesen penyiaran CCTV, bandar terbabit menyediakan lebih 4,400 tapak persampelan dan mengerahkan lebih 100,000 petugas untuk mengendalikan ujian.
Rakaman disiarkan menunjukkan penduduk yang memakai pelitup hidung dan mulut sedang beratur di jalanan dan pusat sukan untuk melakukan ujian saringan.
Larangan memandu dan mengehadkan anggota isi rumah setiap tiga hari untuk membeli barang keperluan dapur mengundang isu kelaparan.
Kebanyakan penduduk Xi'an menggunakan media sosial untuk memohon pertolongan bagi membeli makanan dan barang keperluan asas lain. - AFP
Sumber: BH Online
0 Ulasan