Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk menggunakan sebuah Mercedes S600 yang telah dibeli oleh Jabatan Perdana Menteri sebelum beliau dilantik menjadi perdana menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tolak guna Mercedes S600 yang dipesan oleh Jabatan Perdana Menteri |
Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.
“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat.
“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya,” kata Perdana Menteri ke 10 itu dalam satu kenyataan beliau malam tadi.
Sebaliknya, kata Anwar, beliau telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian.
Semalam, Anwar ketika sidang media Majlis Solat Hajat, Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Ashabus Solihin dekat sini, mengingatkan semua anggota Kabinet yang bakal dilantik tidak lama lagi supaya tidak membazirkan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu, terutama untuk kerja baik pulih pejabat masing-masing.
Perdana Menteri berkata, anggota Kabinetnya juga diingatkan tidak menggunakan peruntukan kerajaan bagi kemudahan peribadi, sebaliknya ia perlu diutamakan bagi mengatasi lonjakan kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.
Beliau yang mengumumkan tidak akan mengambil gajinya sebagai Perdana Menteri, antara lain menasihati bakal anggota Kabinet supaya sentiasa berjimat dengan lebihan peruntukan itu perlu dipulangkan kepada golongan susah. - BH Online
0 Ulasan