Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Pokok diberi makan nasi, tradisi unik agar tumbuh subur dan mendatangkan tuah

PERNAH anda dengar orang memberi makan nasi kepada pokok? Bunyinya memang aneh, bahkan tidak masuk akal. Tetapi perkara tidak logik ini memang benar-benar wujud.

Pokok diberi makan nasi, tradisi unik agar tumbuh subur dan mendatangkan tuah
Tradisi memberi makan nasi kepada pokok ini dilakukan apabila tiba musim panas.

Masyarakat yang mengamalkan tradisi unik ini adalah sebahagian penduduk di daerah Enshi Tujia dan Miao yang terletak di wilayah Hubei, China. Ia merupakan satu budaya yang menjadi sebahagian daripada kepercayaan penduduk di situ.

Bagaimana caranya memberi makan nasi kepada pokok berkenaan? Begini, disebabkan pokok tidak mempunyai mulut untuk menyalurkan nasi ke dalam batang pohon, penduduk menggunakan cara tersendiri sebagai alternatif.

Tumbuhan yang dipilih akan dihiris pada bahagian batang. Caranya sama seperti melakukan hirisan pada pokok getah untuk mengeluarkan susu. Bezanya, pokok yang dihiris itu tidak mengeluarkan cecair susu seperti pohon getah.

Batang pokok akan dihiris sedikit agar nasi boleh dimasukkan ke dalamnya.
Batang pokok akan dihiris sedikit agar nasi boleh dimasukkan ke dalamnya.

Hirisan yang dihasilkan bertujuan untuk ‘menyuap’ nasi untuk ‘dimakan’ oleh pokok tersebut. Kedengaran agak melucukan, namun perbuatan menyuap nasi pada hirisan pokok ini dilakukan masyarakat di sana setiap kali tiba musim panas.

Mereka percaya amalan memberi makan nasi kepada pokok menjadikan tumbuhan ini lebih sihat daripada biasa. Malah, perlakuan tersebut dianggap membawa tuah dalam kehidupan mereka. Selain itu, pokok buah yang diberi ‘makan’ nasi dipercayai akan menghasilkan buah yang lebih banyak dan elok kualitinya.

Nasi yang telah 'disuapkan' pada batang pokok
Nasi yang telah 'disuapkan' pada batang pokok

Kurang jelas jenis pokok yang diberikan makan nasi itu. Namun, nasi yang digunakan adalah sama seperti nasi yang dimakan oleh penduduk sebagai makanan ruji. Cuma, bezanya pokok tidak ‘menjamah’ lauk-pauk sebagai tambahan pelengkap menu.

Boleh dilihat pada pokok-pokok itu dari jauh seakan mengeluarkan benda putih daripada batangnya. Apabila didekati, itu adalah susunan nasi yang ‘disuap’ pada hirisan pokok tersebut.

Apa yang dilakukan penduduk di wilayah itu turut mendapat respons orang awam. Ada yang menyifatkan perbuatan memberi makan kepada pokok adalah satu perkara yang tidak masuk akal.

Ini kerana tumbuhan mampu hidup sendiri dengan kehadiran cahaya matahari dan udara. Apatah lagi apabila menjadikan nasi sebagai makanan untuk tumbesaran pohon, sama seperti memberi makan kepada haiwan ternakan.

Pun begitu, kebanyakan penduduk di sana masih berpegang dengan tradisi tersebut.

Tambahan pula mereka mengatakan terdapat perbezaan yang disaksikan oleh mereka sebelum dan selepas ‘menyuap’ nasi kepada pokok-pokok itu, di mana pokok yang ‘makan’ nasi hasilnya lebih baik dan subur serta mendatangkan tuah dalam hidup mereka.



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan