“Sehingga kini, ada beberapa momen yang sukar untuk saya lupakan. Banyak penyesalan dan perasaan bersalah menghantui diri. Setiap hari saya bangun dengan tangisan.”
Itu luahan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari selepas pemergian suami tercinta, Ashraf Sinclair, hampir tiga tahun lalu.
Kongsi Bunga, dia mengambil masa beberapa bulan untuk menerima kenyataan tersebut, pada masa sama dia turut menanggung sakitnya merindui seseorang yang sudah tiada.
“Ini bukan sesuatu yang memalukan tetapi saya hanya berkongsi. Saya mengambil masa berbulan untuk menerima ini adalah sesuatu yang nyata. Saya fikir, tidak hanya saya seorang yang alami kesusahan ini.
“Banyak perkara yang saya perlu syukuri. Perlahan-lahan saya bangkit kembali, menyesuaikan diri dengan hidup baharu. Jadi orang yang berusaha untuk kembali mekar.
“Saya berkongsi bagaimana indahnya 12 tahun yang saya jalani bersama Ashraf. Bukan untuk bersedih tetapi merayakan 12 tahun terindah,” katanya sebak.
Penyanyi Cinta Sejati itu berkongsi isi hatinya ketika BCL Blossom Intimate Concert yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bunga juga menambah, dia terpaksa mengumpul keberanian dan semangat untuk kembali ke Kuala Lumpur yang menyimpan seribu satu kenangan indah bersama Allahyarham suaminya itu.
“Berbeza sekali berbicara tentang Ashraf di sini berbanding di destinasi lain. Kali terakhir konsert saya bersama Anuar Zain di sini, Ashraf hadir ketika itu. Dia duduk depan sekali.
“Pelbagai emosi dan rasa yang ada. Saya beruntung memiliki keluarga dan sahabat yang sentiasa memberi sokongan. Memang hidup ini ada turun naiknya. Saya sudah banyak diberi kelebihan.
“Mungkin ini masa untuk saya mula kembali. Belajar menerima setiap satu perkara yang menggembirakan dan menyedihkan. Itu adalah kehidupan,” ucapnya. - Utusan Malaysia
0 Ulasan