Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Raja Charles lucutkan gelaran diraja Andrew, arah tinggalkan Istana Winsdor

LONDON: Raja Britain, Raja Charles III secara rasmi melucutkan gelaran dan penghormatan diraja adindanya, Putera Andrew, susulan kontroversi berterusan mengaitkannya dengan pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein.

Raja Britain, Raja Charles III (kanan) memulakan proses rasmi melucutkan gelaran dan penghormatan diraja adindanya, Putera Andrew. - Foto AFP

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Buckingham semalam, Raja Charles turut mengarahkan Putera Andrew, 65, untuk mengosongkan kediamannya di Royal Lodge, Istana Windsor.

"Putera Andrew kini akan dikenali sebagai Andrew Mountbatten-Windsor. Langkah ini diambil walaupun Putera Andrew terus menafikan semua dakwaan terhadapnya," menurut kenyataan itu.

Andrew juga dimaklumkan untuk meninggalkan rumah lamanya di Istana Windsor dan akan berpindah ke penginapan persendirian lain secepat mungkin.

Tindakan itu diambil susulan penerbitan buku Virginia Giuffre, di mana dia mendedahkan pernah dipaksa melakukan hubungan seks dengan Andrew tiga kali, termasuk dua kali ketika berusia 17 tahun.

Kenyataan itu juga dikeluarkan susulan kemarahan orang ramai terhadap tuduhan serangan seksual baharu yang dibuat oleh salah seorang pengadu utama Epstein terhadap Andrew, yang menafikan tuduhan berkenaan.

Difahamkan Andrew tidak membantah keputusan itu.

Giuffre, 41, membunuh diri pada April lalu dan Epstein juga membunuh diri di penjara pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks.

Keluarga Giuffre, yang sebelum ini menuntut supaya gelaran Putera Andrew ditarik, menyambut baik tindakan itu.

Andrew, anak kedua mendiang Ratu Elizabeth II, berulang kali menafikan tuduhan berkenaan, tetapi beliau bersetuju membayar jutaan dolar kepada Giuffre pada 2022 bagi menamatkan kes sivil serangan seksual terhadapnya.

Kemarahan orang ramai turut memuncak apabila laporan media mendedahkan bahawa Andrew hanya membayar sejuta pound untuk Royal Lodge pada 2003 dan hanya dikenakan sewa tahunan simbolik sejak itu.

Dalam satu kes pada Isnin lalu, Raja Charles turut diejek oleh seorang penunjuk perasaan ketika menghadiri satu majlis di sebuah gereja di barat laut England, yang menjerit: "Berapa lama anda tahu mengenai Andrew dan Epstein?"

Difahamkan, Andrew akan berpindah ke hartanah Raja di Sandringham, Norfolk Timur, dengan pembiayaan persendirian oleh Raja Charles. - AFP



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan