SEPANG: Zul Ariffin atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin yang didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu. "Saya mengaku saya salah sebab saya yang muat naik hantaran," demikian kenyataan beliau.
Zul Ariffin didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu. - Foto BH Online |
Zul Ariffin membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar. Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Zul berkata, dia mengaku kesalahan memuat naik kandungan kerana enggan memanjangkan kes dan membazir masa orang berkaitan.
"Mahkamah sudah jatuh hukuman dan sekarang, saya kena selesaikan denda.
"Alhamdulillah semua berjalan lancar dan tak mahu berpanjangan. Saya hanya mengaku bersalah disebabkan memuat naik.
"Saya tak nak bazir masa, jadi saya mengaku bersalah. Kalau tak mengaku bersalah, perkara ini berterusan. "Saya tak mahu hidup dengan rasa macam ini, jadi anggap kesalahan saya atas kelakuan saya.
"Saya bersalah dengan Allah, jadi saya ambil langkah berani untuk mengaku bersalah. "Walaupun apa depan mata saya, saya hadap, Alhamdulillah Allah tak panjangkan benda ini. "Saya terima hukuman ini," katanya kepada wartawan.
Pelakon Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 itu ditemui selepas menyelesaikan denda di kaunter pembayaran.
Zul turut memaklumkan tidak mengambil tindakan selanjutnya atas insiden tersebut.
"Kita tak payah nak bercakap pasal kebenaran, orang pun tahu sebab semua orang tengok. Tak mengapa. "Jadi tiada tindakan lagi dari saya sebab lain yang terbabit semua malaikat, saya seorang sahaja yang tidak," katanya.
Berikutan itu, Zul mengakui, dia lega dapat diselesaikan dengan baik, lebih lagi kali pertama bintang filem Sangkar itu berhadapan dengan kes mahkamah.
"Saya lega walaupun saya tak pernah masuk mahkamah, tetapi Alhamdulillah dengan pasukan dan peguam yang memberi nasihat dan dengan sokongan yang dapat.
"Alhamdulillah dan terima kasih kawan-kawan yang hadir memberikan sokongan. "Saya sangat terharu, tetapi saya ingat siapa yang tak sokong. Alhamdulillah," katanya.
Bertanya pengajaran diterima, Zul menasihatkan agar rakan pelakon lebih berhati-hati diminta memuat naik sesuatu hantaran bagi tujuan promosi.
"Kita semua melakukan kesilapan. Disebabkan itu, jadikan perkara ini sebagai pengajaran. "Pengajaran juga kepada semua pelakon, kalau disuruh muat naik apa-apa tak payahlah akur sangat, betul tak? "Berhati-hatilah, jadikan saya sebagai contoh. Muat naik gambar selfie sendiri tak mengapa, tak rugi apa pun," katanya.
Zul tiba di Mahkamah Sesyen Jenayah, di sini, pada jam 8.15 pagi ditemani sahabatnya, Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-lin Pillai. Terdahulu, pada 18 Mac, Zul memuat naik babak ghairah dalam drama lakonannya berjudul Perempuan Itu di laman sosial Instagram (IG) miliknya.
Video memperlihatkan Zul mendukung pelakon, Siti Hariesa dari depan dianggap keterlaluan dan tidak sesuai untuk tayangan masyarakat di negara ini.
Selepas teruk dikecam, Zul akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di IG. Zul kemudiannya didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM) 1998.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merujuk kepada penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. Sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sumber: BH Online
0 Ulasan