BEIJING | Sebuah kedai tilam di wilayah Zhejiang, China menjadi tular di media sosial apabila memuat naik rakaman seorang pelanggannya tertidur di atas sebuah tilam semasa membuat pilihan tilam yang ingin dibeli, lapor laman berita Mothership.
Pelanggan itu terlena semalam sebelum tersedar dan membayar harga tilam itu keesokan harinya. - Weibo |
Klip video itu dimuat naik di platform media sosial tempatan, Weibo dan memaparkan seorang lelaki berbaring untuk menguji keselesaan tilam yang mahu dibeli sebelum tertidur dengan lenanya.
Kebanyakan kedai tilam tidak membenarkan perbuatan tersebut atas faktor kebersihan,namun pekerja di situ bukan sahaja membiarkan sahaja pelanggannya tidur, malah mereka juga menyediakan selimut dan menutup lampu supaya dia dapat tidur dengan lebih selesa.
“Dia datang untuk membeli tilam, cuba berbaring dan tiba-tiba sahaja, kami mendengar bunyi berdengkur,” kata pemilik kedai.
Ternyata tilam itu sangat selesa kerana pelanggan itu hanya tersedar pada keesokan hari dan terus ke kaunter untuk membuat bayaran.
Harga tilam itu bersamaan S$3,823 (RM12,390). – SUMBER: Agensi
0 Ulasan