BEIJING: Sekatan COVID-19 yang sangat ketat di China menjejaskan perniagaan dan pencari kerja dengan Beijing sekali lagi menekankan keperluan mengekalkan pendekatan bersifat toleransi sifar terhadap virus itu.
Sejak 2020, China melaporkan 5,226 kematian akibat COVID-19 dalam kalangan 1.4 bilion penduduknya ketika Amerika Syarikat (AS) merekodkan lebih satu juta kematian.
Pendekatan China dalam mengurangkan jumlah kematian menjejaskan ekonomi negara berkenaan.
Cai Xu, 36, yang menutup empat daripada lima bar di Beijing dan Chengdu dalam tempoh tiga tahun memberitahu, perniagaannya terganggu oleh penutupan sementara bagi mematuhi dasar COVID.
Katanya, ketika ini, hampir tidak ada pelanggan masuk ke barnya. "Sejak pandemik itu, saya menjadi cemas dan bingung apabila bar mula ditutup satu demi satu," kata Cai, yang melepaskan tugasnya sebagai arkitek di perusahaan milik kerajaan pada 2016 untuk membuka perniagaan pertamanya.
Bagi mengimbangi penurunan pelanggan, Cai mula menyiarkan persembahan muzik secara langsung di barnya dan mendapat sambutan ramai.
Ia terpaksa dilakukan sementara Cai mencari cara lain untuk mengekalkan operasi premisnya di Beijing.
Pada Januari hingga Mac, ekonomi China hampir tidak berkembang apabila pihak berkuasa bergelut dengan varian Omicron yang sangat mudah berjangkit.
Pada April, kadar pengangguran bandar mencecah 6.1 peratus, tertinggi sejak Februari 2020 dan pada Julai pula, pengangguran dalam kalangan mereka yang berumur antara 16 dan 24 tahun mencapai rekod 19.9 peratus.
Sementara itu sejak Julai, Zheng Mili, 30, menghantar ratusan permohonan kerja dan menjalani puluhan temu duga di Beijing. Bagaimanapun jawatan yang ditawarkan hanya menawarkan gaji separuh daripada yang pernah diperolehi.
"Satu syarikat memanggil saya untuk temu duga dan sebelum saya pergi, mereka memberitahu ribuan permohonan diterima dalam masa sehari.
"Hanya dalam satu hari, pekerjaan yang menawarkan anda 10,000 yuan (RM6,549) sebulan menarik perhatian ribuan orang yang memohon. Pasaran kerja sangat sukar sekarang," katanya. - REUTERS
0 Ulasan