Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Tipu anak mati dilanggar lori, Ibu didakwa bunuh anak 5 tahun bersama kekasih

SEORANG wanita bersama kekasihnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas satu pertuduhan membunuh anak lelaki kandungnya dua minggu lalu.

Tertuduh Mary Teh May Yee (kiri), 44, dan teman lelakinya, Puvaneswaran Subramaniam, 29, ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan membunuh anak kandung wanita berkenaan pada 22 Ogos lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Mary Teh May Yee, 44, dan teman lelakinya, Puvaneswaran Subramaniam, 29, selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa, pagi ini.

Pengakuan tidak direkodkan memandangkan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama didapati telah membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di sebuah kediaman di Taman Puncak Jalil dekat Petaling sekitar jam 12.55 tengah malam pada 22 Ogos lalu.

Ibu mangsa dan Puvaneswaran yang merupakan penganggur dan pemandu lori itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu di hadapan Majistret sama, Puvaneswaran mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memberikan keterangan palsu kepada penjawat awam iaitu seorang anggota polis berpangkat Konstabel di Balai Polis Seri Kembangan sekitar jam 2.57 pagi pada tarikh yang sama.

Pertuduhan bagi kes itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 bulan atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

Majistret Shahril Anuar kemudian menetapkan 2 Oktober depan bagi sebutan semula kes untuk kedua-dua kes itu.

Sebelum ini media melaporkan polis menahan seorang wanita dan kekasihnya berhubung kematian seorang budak lelaki yang merupakan anak kepada wanita berkenaan, disyaki didera oleh pasangan itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata pasangan itu ditahan selepas mereka disyaki membuat laporan palsu yang mendakwa kanak-kanak terbabit cedera akibat dilanggar sebuah kenderaan.

Kanak-kanak itu dilaporkan telah dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Serdang pada jam 12.50 tengah malam pada 22 Ogos lalu selepas tidak sedarkan diri dan pihak hospital dimaklumkan kanak-kanak itu dilanggar oleh sebuah kenderaan.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebelum hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan kanak-kanak malang itu mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama, disyaki akibat didera



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan