JOHOR BAHRU: Pelakon sambilan yang meninggal dunia semalam, disahkan akibat terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri, di Taman Iskandar, dekat sini.
Pelakon drama Oh My Hantaran, Syazlin Zainal maut dipercayai akibat jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru |
Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari itu, wanita berusia 26 tahun yang juga pempengaruh sosial itu dikenali Syazlin Zainal.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan tentang penemuan mayat seorang wanita di bahagian bawah pangsapuri itu.
"Hasil siasatan polis mendapati wanita berkenaan adalah seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pelakon sambilan.
"Hasil siasatan awal mendapati, sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun, beliau memohon orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil memberi maklumat di Balai Polis Taman Pelangi atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.
Difahamkan, proses bedah siasat masih lagi dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HSA dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, dekat sini.
Terdahulu, media melaporkan Syazlin meninggal dunia di Johor dan punca kematiannya masih dalam siasatan.
Berita sedih itu dikongsikan rakan Syazlin iaitu Zeatyalia di IG Stories miliknya pada petang semalam.
Syazlin pernah membintangi beberapa drama tempatan antaranya Sitik Tok, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Takdir Yang Tertunda dan Ada Yang Ngikut.
Allahyarham adalah anak bongsu daripada lima beradik dan anak perempuan tunggal dalam keluarganya.
Sumber: Berita Harian
0 Ulasan