PASIR MAS: ‘Menantu saya yang sarat mengandung masih dalam keadaan terkejut, trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga tidak mampu berada di rumah saya kerana terbayangkan arwah suaminya,” kata Zaiton Abdul Rahman, ibu Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut ditembak di Golok, Thailand, petang kelmarin.
![]() |
| WAN Fatihah Mat Husin ketika hadir di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, Pasir Mas, semalam. |
Zaiton, 64, yang juga pesara guru berkata, keadaan itu menyebabkan menantunya, Wan Fatihah Mat Husin, 35, terpaksa kembali ke rumah ibunya di Golok, Thailand, malam tadi.
“Selepas majlis pengebumian Mohd Fuad petang semalam, keadaan menantu saya masih dalam keadaan sangat sedih dan trauma kerana kejadian yang berlaku itu sangat tragik apabila di depan matanya.
“Dia masih terbayangkan keadaan suaminya yang ditembak bertalu-talu dan pada masa sama mempertahankan isterinya kerana bimbang peluru mengenai isteri yang sarat mengandung.
“Itu yang menantu beritahu ketika kami bercakap dan dia tidak mampu menceritakan lebih kerana masih trauma dan di rumah saya pun dia tidak boleh masuk ke bilik mereka kerana terbayangkan Mohd Fuad masih ada,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun katanya, dia akan mengambil menantunya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang petang ini.
“Esok dan Rabu menantu perlu berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan kandungan. Insya Allah jika diizinkan menantu akan bersalin di sini dan berpantang di rumah saya.
“Apa yang saya doakan semoga keluarga kami semua kuat berdepan kehilangan ini,” katanya.
Pada masa sama, Zaiton berkata, pihak berkuasa Thailand memaklumlan kepada menantunya bahawa polis sudah berjaya mengesan kedudukan pembunuh yang menembak anaknya.
Bagaimanapun katanya, dia menyerahkan kepada pihak polis berhubung perkara itu dan berharap pelaku kepada anaknya itu menerima hukuman setimpal.
Semalam media melaporkan, rakyat Malaysia yang juga peniaga beg dan batu permata maut selepas dipercaya ditembak 18 das tembakan oleh dua individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok jam 9 malam.
