BEIJING – Syarikat penerbangan China, Spring Airlines mencetuskan kontroversi selepas mengumumkan pengambilan pramugari terdiri daripada wanita sudah berkahwin dan ibu dengan mereka digelar ‘air aunties’ atau ‘makcik udara’, lapor portal berita Wion.
Iklan pengambilan disiarkan Spring Airlines pada 22 Oktober lalu.
Spring Airlines berkata, pihaknya mencari wanita berumur 25 hingga 40 tahun, khususnya yang sudah berkahwin atau mempunyai anak.
“Kumpulan usia ini mempunyai pengalaman hidup dan lebih empati untuk menjaga penumpang warga emas serta kanak-kanak dengan lebih baik,” kata seorang jurucakap Spring Airlines.
Pemohon perlu memiliki ijazah sarjana muda, ketinggian antara 162 hingga 174 sentimeter serta pengalaman dalam perkhidmatan pelanggan.
Syarikat penerbangan itu bagaimanapun dikecam ramai pengguna media sosial kerana gelaran ‘makcik udara’ dianggap memperlekehkan wanita.
“Gelaran ini tidak menghormati wanita kerana menonjolkan status perkahwinan serta usia mereka,” kata seorang netizen.
Spring Airlines tampil menjelaskan bahawa tiada perbezaan dari segi gaji, tanggungjawab serta peluang kerjaya antara ‘makcik udara’ dan pramugari lain. – AGENSI

0 Ulasan