Sejak semalam, kecoh di media sosial apabila seorang wanita misteri mendakwa mahu membongkarkan ‘sisi gelap’ penyanyi rap sensasi, Caprice yang sering mengulas isu semasa dan kadang kala menyentuh kehidupan orang lain.
Susulan itu, menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Caprice di laman Instagramnya, dia memberitahu perkara itu telah dimaklumkan sendiri oleh isterinya, Farra Inalis pada lewat malam semalam.
“Cap dah lena tidur, tiba-tiba isteri kejutkan dan tanya siapa perempuan ini. Jadi, kita buka lah album kat Facebook lama dan cuba cari. Haih.. kalau jadi ‘bad boy’ adalah jenayah, saya minta maaf Malaysia, saya harap saya tak menjadi begitu comel pada ketika itu,” ujarnya di ruangan kapsyen.
Bukan itu sahaja, apa yang mencuit hati apabila Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli mendedahkan dia terpaksa tidur di sofa pada malam semalam akibat gagal mencari identiti wanita terbabit.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kasihan terhadap nasib yang menimpa ke atas penyanyi rap sensasi itu yang terpaksa tidur luar gara-gara hantaran berani yang dimuat naik oleh wanita misteri terbabit.
Malah, ada segelintir yang menganggap itu adalah ‘karma’ untuk Caprice memandangkan dia sering mengulas mengenai isu-isu semasa dan membongkar ‘sisi gelap’ pihak lain. Bahkan, ada juga yang memberi nasihat untuk mendiamkan diri buat sementara waktu bagi meredakan keadaan.
Sehingga kini, tiada perkembangan yang baharu mengenai wanita misteri berkenaan dan apa tujuan wanita tersebut terhadap Caprice masih tidak diketahui kerana dia tidak menceritakan apa-apa selain daripada kenyataannya yang bersedia membongkar sisi gelap selebriti itu.
Sumber: Instagram @capricedaddycap
0 Ulasan