MANJUNG - Seorang pejalan kaki maut akibat digilis lori selepas tergelincir daripada batu penghadang jalan di lampu isyarat berhampiran pekan Pantai Remis di sini pada Sabtu.
Gambar tular mangsa dalam keadaan terbaring meninggal dunia di lokasi kejadian |
Kejadian sekitar jam 9.45 pagi itu mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Mohd Fadil Kamarudin, 45, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, ketika kejadian, mangsa yang dipercayai kurang siuman berdiri di atas batu penghadang di tengah jalan utama itu.
"Akibat tergelincir, badan mangsa terkena tayar belakang sebuah lori yang melalui jalan berkenaan. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala," katanya katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurutnya, pemandu lori berusia 39 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Insiden berkenaan tular di aplikasi WhatsApp bersama sekeping gambar menunjukkan mangsa dalam keadaan terbaring di atas jalan.
Melalui perkongsian tular itu, mangsa yang kurang siuman dikatakan memang sering dilihat berada di laluan lampu isyarat berkenaan.
Sumber: SH Online
0 Ulasan