Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

“Ini perkahwinan ketiga selepas 7 tahun saya hidup sendirian...” – Mak Wan selamat bergelar isteri

"Benda baharu, jadi saya masih kekok," kata pelakon Mak Wan berkenaan alam rumah tangga yang baru sembilan hari ditempuhinya.

MAK Wan bersama suami, Husin Dollah ketika majlis resepsi perkahwinan mereka di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.
MAK Wan bersama suami, Husin Dollah ketika majlis resepsi perkahwinan mereka di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.

Mak Wan, 60, atau nama sebenarnya Halimaton Saadiah Mohd Daud, selamat diijabkabulkan dengan Husin Dollah, 72, di kampung halamannya di Ipoh, Perak pada 22 Januari.

Manakala majlis resepsi pula berlangsung di kampung suaminya, di Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.

"Ini perkahwinan ketiga selepas tujuh tahun saya hidup sendirian. Tak dinafikan agak sukar nak menyesuaikan diri kerana saya dah biasa hidup seorang.


"Mungkin ia masih baru sangat (kahwin), jadi perasaan malu pun masih ada. Saya pun tak banyak cakap sangat.

"Saya masih dalam proses mengenali, serta baru nak menyesuaikan diri dengan Kuala Pilah dan keluarga di sini. Alhamdulillah layanan semuanya baik dan okey setakat ini," katanya kepada Harian Metro.

Pelakon Kekasih Paksa Rela itu mengakui, selepas dua kali mengalami kegagalan berumah tangga, dia sudah tidak terfikir untuk berumah tangga lagi.

"Bukan nak kata saya baik tiada siapa-siapa yang nak, namun saya tolak tepi dulu soal jodoh. Tapi saya kata, walaupun nak kahwin biar saya pergi umrah dulu dan berdoa kepada Allah agar beri kekuatan dan keputusan yang baik buat saya.

"Walaupun dah bertunang pada 14 November tahun lalu, kami hanya pernah berjumpa sekali. Saya cuma selalu bertanya khabar dengan anak perempuannya menerusi WhatsApp," katanya.


Mak Wan mengerjakan umrah pada awal Januari dan sepatutnya diijabkabul dengan suaminya pada 15 Januari lalu.

"Tapi, sebaik balik umrah saya kena kuarantin di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi. Selepas tamat kuarantin, saya habiskan dulu penggambaran yang tertunda sebelum ini.

"Pada 22 Januari lalu, barulah majlis akad nikah kami dilangsungkan di Ipoh dan kami sah sebagai suami isteri. Buat masa ini, kami belum lagi rancang apa-apa bulan madu kerana jadual 'shooting' saya sepanjang Februari dah penuh," katanya.

Menurutnya, dia merancang untuk bercuti dalam Malaysia tetapi belum berbincang apa-apa lagi dengan suami.

"Suami pun takkan masuk campur hal kerja saya dan beritahu tak nak ikut ke lokasi penggambaran. Tapi kalau ada majlis untuk anak seni mungkin dia akan ikut serta. Harapnya begitulah," katanya.

Mak Wan turut mengakui sudah berbincang dengan suaminya berkenaan pembabitan dalam lakonan.

"Anaknya pun kata, kalau boleh perlahan-lahan kurangkan sikit berlakon. Tapi yang saya buat sekarang dari penggambaran yang tertunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tengok keadaan dulu macam mana untuk saya terima tawaran selepas ini. Saya juga akan kekal tinggal di Kepong, manakala suami di Kuala Pilah," katanya.

Tanpa berselindung, Mak Wan berkata, dia amat memilih dalam soal makanan.


"Saya tak suka makan pedas. Banyak yang tak sama. Harap-harap suami faham saya masih menyesuaikan diri. Ada benda yang saya tak buat, ada benda yang saya tak nak dan ada benda yang saya nak.

"Jangan kita saja nak ikut mereka dan mereka tak nak ikut saya. Saya baru masuk keluarga sini. Bila dah lama hidup sendirian mereka kenalah faham keadaan itu," katanya.

Sumber: myMetro



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan