Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sah menolak rayuan yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya susulan isu pemalsuan dokumen pada tahun ini.
![]() |
| FIFA tolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya |
Berdasarkan kenyataan rasmi yang dikeluarkan sebentar tadi, badan induk bola sepak dunia itu memaklumkan FAM serta tujuh pemain Gabriel Felipe, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel ditolak sepenuhnya selepas meneliti penghujahan dan prosiding pendengaran yang dijalankan.
“Jawatankuasa Rayuan FIFA telah membuat keputusan selepas meneliti semua dokumen yang dikemukakan dan mengadakan sesi pendengaran. Jawatankuasa memutuskan untuk menolak rayuan dan mengesahkan sepenuhnya hukuman yang telah dikenakan (sebelum ini),” kata FIFA dalam satu kenyataan.
Antara hukuman yang dikekalkan ialah denda CHF 350,000 (RM1.9 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Héctor Alejandro Hevel Serrano, masing-masing dikenakan denda CHF 2,000 serta penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
FIFA turut menjelaskan FIFA dan dan semua pemain warisan Harimau Malaya telah dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan itu dan mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon penghakiman bertulis penuh.
FIFA menyatakan, hukuman itu dibuat selepas siasatan mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung kesalahan pemalsuan dan penipuan dokumen.
Sebaik sahaja dokumen penuh diterima, mereka mempunyai tempoh 21 hari untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati beberapa pemain ‘warisan’ Malaysia menggunakan dokumen tidak sah dalam proses pendaftaran pada September lalu.

0 Ulasan