Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Budak berhati mulia tulis surat mohon maaf, sedekah wang termuntah di surau

“Mulia dan bersihnya hatimu wahai anak.”
Demikian reaksi yang diberikan oleh pihak pengurusan Surau Putra Al-Amin setelah membaca sepucuk surat yang diselitkan di dalam tabung surau bersama sekeping wang tunai RM100.

Surat tersebut ditulis oleh seorang kanak-kanak sebagai tanda meminta maaf disebabkan dia tanpa sengaja termuntah di kawasan surau berkenaan.

“Assalamualaikum pak cik, saya menulis surat ini untuk memohon maaf atas kesilapan saya pada 27 Januari 2023. Saya secara tidak sengaja termuntah di surau.

“Saya mahu membersihkannya tetapi saya tidak sempat kerana saya perlu ke sekolah dengan kereta ayah saya menghalang kereta orang lain,” kata kanak-kanak tersebut.

Isi surat itu turut memaklumkan, kanak-kanak tersebut ketika itu berada dalam keadaan kurang sihat disebabkan mengalami masalah keracunan makanan.

“Saya berharap pihak surau dapat memaafkan saya. Ini adalah nombor telefon ayah saya jika mempunyai sebarang masalah.

“Ayah saya sediakan duit ini dengan niat untuk kurangkan beban pihak surau untuk membersihkan najis itu,” katanya.

Dalam pada itu, permohonan maaf tersebut telah menyentuh hati pihak surau dan mereka turut mendoakan agar kanak-kanak terbabit diberikan kesihatan berpanjangan.

“Semoga diberikan kesihatan dan terus istiqamah berjemaah di surau masjid ya. Insya-Allah kami sentiasa mengalu-alukan,” balas pihak surau menerusi laman Facebook Surau Putra Al-Amin hari ini. – KOSMO! ONLINE



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan