Kes jangkitan harian COVID-19 di negara ini direkodkan sebanyak 1,722 kes setakat tengah malam tadi, menjadikan sehingga kini jumlah penularan virus itu di negara ini mencecah 4,810,082 kes sejak dikesan di negara ini pada 2020.
Covid-19 catat 1,722 kes baharu, jumlah kes positif kini mencecah 4,810,082 |
Menerusi laman sesawang COVIDNOW, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan itu, sebanyak 1,714 kes penularan tempatan dengan lapan lagi adalah kes import.
Secara keseluruhannya, negara masih mempunyai 23,038 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu sebanyak 95.5 peratus bersamaan 22,011 kes sedang dalam kuarantin wajib di rumah.
Selain itu, terdapat 979 kes atau 4.2 peratus sudah mendapatkan rawatan lanjut di hospital, unit rawatan rapi (ICU) (22) dengan 26 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sehingga kini, kadar penggunaan wad ICU di paras 63.5 peratus, bagaimanapun yang digunakan untuk pesakit COVID-19 sahaja adalah 13.2 peratus.
Dalam pada itu, turut mencatatkan pertambahan adalah kes kematian akibat jangkitan berkenaan dengan empat kes dilaporkan sehingga tengah malam tadi, termasuk dua kes meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).
Ia menjadikan sehingga kini jumlah angka korban di negara ini sudah mencecah 36,387 kes dengan 7,739 kes pula meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.
Bagi jumlah kes sembuh di negara ini, setakat semalam terdapat sebanyak 1,639 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan berkenaan adalah 4,788,889 kes.
Sumber: Berita Harian
0 Ulasan