Pembayaran Fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) melibatkan 8.6 juta penerima dengan peruntukan sebanyak hampir RM2 bilion akan dibuat secara berperingkat mulai 28 Mac ini.
Kenyataan Perdana Menteri mengenai pembayaran Fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) |
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penerima BKM akan menerima bayaran sebanyak RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan mereka.
Katanya, golongan penerima merangkumi 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas bujang ataupun tiada pasangan serta 3.4 juta individu bujang.
“Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 28 Mac 2022 melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2 bilion.
“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan 1443 Hijrah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 2 Mei depan untuk tempoh sebulan.
Beliau menjelaskan, proses itu adalah bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan dengan memberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” katanya.
BKM adalah sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan kerajaan di dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.
Bagi isi rumah, warga emas dan individu bujang, pembayaran akan terus dikreditkan ke akaun bank mereka bermula 28 Mac hingga 8 April depan.
Penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak pula akan menerima bantuan tersebut pada 30 Mac ini menerusi cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Baca juga: [Video] Tengku Datuk Seri Zafrul buat kenyataan tentang penyaluran Bantuan Keluarga Malaysia 2022
Semakan status kelulusan BKM boleh dibuat mulai 28 Mac ini melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.
Sumber: Kosmo
0 Ulasan