Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meminta dua kementerian untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu video sedutan drama ‘Perempuan Itu’ yang tular baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff menentang keras penyiaran drama yang mengandungi adegan tidak bermoral. |
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap isu itu dan menentang keras penyiaran program seumpamanya.
Beliau menjelaskan, program itu jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan dilarang oleh Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat serta hukum syarak.
“Drama seumpama ini tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan Ramadan.
“Jakim telah menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya tindakan tegas dapat diambil segera,” katanya hari ini.
Pelakon Zul Ariffin pada Jumaat lalu menyiarkan sedutan babak panas lakonannya bersama pelakon baharu, Siti Hariesa.
Sedutan drama yang dimuat naik ke laman Instagram pelakon tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai yang menyifatkannya menyerupai babak dalam filem lucah.
Pada masa sama, menurut Hakimah, Jakim menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan para pelakon agar lebih cakna dan mengelak isu-isu seumpamanya.
Sumber: Kosmo
0 Ulasan