PELAKON dan pelawak Zulin Aziz selamat bergelar isteri kepada lelaki pilihannya yang juga seorang ahli perniagaan, Farhan Norzaini, 35, dengan hanya sekali lafaz, di Masjid Negara, sekitar jam 9.20 pagi, pada Ahad.
Zulin Aziz akhirnya bertemu cinta sejati, kini bergelar isteri Farhan Norzaini |
Pasangan itu dinikahkan Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd. Hosni dan berwalikan abang pengantin perempuan, Shah Rezza Abdul Aziz.
Majlis ijab kabul yang berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu menyaksikan Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz, 33, menerima mas kahwin sebanyak RM80, beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak lelaki. Sementara wang hantaran pula berjumlah RM30,000.
Bintang drama Penjara Janji itu meluahkan rasa syukur sebaik sahaja bergelar isteri dan mengharapkan agar perkahwinan yang dibina itu berkekalan selamanya setelah melalui pahit getir dalam mencari cinta sejatinya sebelum ini.
“Kehadiran suami dua tahun lalu bagai magis yang mengubah persepsi bahawa kemarau panas berpanjangan itu berakhir dengan kehadiran pelangi setelah hujan.
“Hujung tahun lalu ketika mengerjakan umrah, dia melamar saya di Madinah,” ujarnya.
Zulin dan suami merancang untuk berbulan madu di Turki (FOTO: CST PRODUCTION) |
Menyentuh tentang perancangan anak dan percutian bulan madu, Zulin yang terpaut hati pada suami setelah melihat kesungguhan dan keluhuran hati lelaki itu, menyerahkan segalanya kepada rezeki.
“Soal cahaya mata, baik saya dan suami terima saja rezeki yang Tuhan berikan.
“Saya dan suami beruntung kerja dalam bidang sama iaitu perniagaan Sambal Tujuh. Jadi sambil bekerja selitlah mana sempat nak berbulan madu.
“Rancangnya macam nak ke Turki, tapi situasi semasa pandemik Covid-19 pun membimbangkan. Belum ada kata putus,” jelasnya.
Pasangan pengantin yang mengikat tali pertunangan pada 28 Januari lalu itu akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di Magica Grand Hall, Shah Alam, pada malam ini.
(FOTO: CST PRODUCTION, VIDEO: MSTAR DAILYMOTION)
0 Ulasan