Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

SOP imbas suhu badan dan daftar butiran peribadi dimansuhkan berkuat kuasa Jumaat, 11 Februari

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein hari ini berkata prosedur operasi standard (SOP) imbasan suhu badan dan daftar butiran peribadi bagi memasuki premis akan dimansuhkan berkuat kuasa 11 Februari depan.

SOP imbas suhu badan dan daftar butiran peribadi dimansuhkan berkuat kuasa 11 Februari
SOP imbas suhu badan dan daftar butiran peribadi dimansuhkan berkuat kuasa 11 Februari

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata daftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa selain turut mengalu-alukan sekiranya pemilik premis yang masih ingin meneruskan pelaksanaan kedua-dua SOP tersebut.

“Dengan pemansuhan ini, pihak pemilik premis tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod check in di pintu-pintu masuk premis masing-masing,” katanya dalam sebuah kenyataan selepas mesyuarat kuartet menteri hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengumumkan kerajaan membenarkan ibadah umrah bermula hari ini dengan penetapan beberapa SOP baru yang akan berkuat kuasa 14 Februari depan.

SOP yang ditetapkan antara lain mewajibkan agen pelancongan memantau kepatuhan jemaah dari mula perlepasan rombongan sehingga pulang semula ke tanah air; dos penggalak juga turut diwajibkan kepada semua peserta rombongan dan perlu menjalani kuarantin wajib di Arab Saudi dengan kos ditanggung sendiri peserta jemaah.

“Untuk jemaah umrah yang akan ke Arab Saudi hari ini sehingga 13 Februari, mereka terikat dengan SOP sedia ada.

“Bagaimanapun, apabila mereka pulang semula ke tanah air mereka diwajibkan mematuhi SOP baru yang telah dikuatkuasakan.”

Sebelum ini, kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari lalu ekoran lonjakan kes dalam negara akibat penularan varian Omicron.

Sumber: BH Online


Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan