ALOR SETAR, 13 Feb -- Dua beradik warga Myanmar maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi petang ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata polis menerima laporan berhubung kematian dua kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, kira-kira 6.15 petang.
"Siasatan awal mendapati, pada 5.30 petang bapa mangsa yang berumur 36 tahun ternampak dua anaknya berada di kawasan tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum mengangkat kedua-dua mangsa ke rumah jiran berdekatan.
"Bapa mangsa mendapati mulut kedua-dua anaknya berbuih dan selang beberapa minit kemudian anaknya sudah tidak bernafas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shariman berkata ketika kejadian bapa mangsa keluar bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung.
"Mereka tidak mempunyai rumah dan hanya menumpang di rumah jiran di kampung tersebut," katanya.
Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.
-- BERNAMA
0 Ulasan