Selepas dimandikan seperti 'jenazah', remaja curi tabung masjid dipenjara 10 hari, denda RM4,000 |
Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari 9 Jan lalu dan jika tertuduh gagal membayar jumlah denda dia boleh dipenjara selama lima bulan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, majistret menegur tindakan Daniel cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah di Kuang, Rawang.
“Tahu apa salah awak? Duit orang bagi (dalam tabung) untuk masyarakat dan pembangunan masjid. Awak curi letak dalam bilik jenazah pulak. Harap benda ini jadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Kesalahan itu dilakukan di Masjid Al Islahiah Kilometer 28, Kuang, Rawang, tengah malam pada 8 Jan lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Peguam Azman Abdullah yang mewakili Daniel memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.
“Ibu bapa tertuduh telah bercerai sejak dia berusia lapan tahun (Darjah 2). Dia tinggal dengan datuknya yang berusia 70-an dan mereka bukan orang senang. Makan dan minum juga daripada sedekah jiran-jiran,” kata Azman.
Beliau berkata, meskipun tertuduh bersalah, tindakan menyebar video yang tular di laman sosial tidak wajar kerana ia menyebabkan tertuduh tertekan.
Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti “jenazah” selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid.
Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.
Kalangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran kepada remaja berkenaan.
Bagaimanapun, ada warganet berpendirian pihak masjid tidak menghormati undang-undang dengan melayan remaja itu sedemikian.
0 Ulasan