Cikgu-cikgu ini sanggup redah banjir demi selamatkan nyawa 320 keluarga mangsa |
Cikgu Puziah Abd Rahman berkata, beliau dan beberapa guru lain terpaksa mengambil tindakan sendiri dengan membuka kelas-kelas bagi menempatkan ratusan keluarga yang terselamat daripada banjir luar jangkaan pada Sabtu lalu.
“Sekolah ini tidak didaftarkan sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) tetapi kami terpaksa kerana air sudah naik sehingga paras menutup bumbung rumah, dan ketika itu tiada bantuan awal tiba.
“Ia tindakan yang dirasakan perlu ketika itu, kami cuma diminta berpindah ke PPS yang berdaftar tetapi di sana suasana amat teruk, sempit dengan beribu penghuninya di dalam itu.
“Ada yang dipanggil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memberi penjelasan, tapi apa pilihan kami ada dalam situasi darurat?
“Bantuan NGO tiba pada hari kedua manakala bantuan Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) tiba pada hari ketiga,” katanya kepada pemberita.
Hasil usaha Cikgu Puziah, ratusan keluarga mendapat bantuan perlindungan, makanan dan keperluan asas sementara menanti air surut.
“Hari kedua banjir iaitu pada Ahad lalu, pelajar- pelajar mengambil inisiatif mengagihkan makanan kepada seluruh keluarga terjejas,” katanya.
Taman Sri Muda antara kawasan yang paling teruk terjejas di Selangor, bersama Klang dan Hulu Langat, dengan kebanyakan rumah setakat pagi ini masih dipenuhi air di paras buku lali – menurun daripada paras rekod melebihi enam kaki tinggi.
Beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal akibat banjir selepas hujan lebat berterusan sejak Jumaat hingga awal pagi Ahad.
0 Ulasan