Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

“Andai kata dapat undur masa, saya tidak mahu jadi seperti sekarang !... ─ Abang Viva

Alor Gajah: "Andai kata dapat diundurkan masa, saya tidak mahu jadi seperti sekarang ini kerana amanah dan kepercayaan diberikan orang ramai terlalu tinggi, saya khuatir tidak mampu membawanya." Itu kata Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai Abang Viva.

“Andai kata dapat undur masa, saya tidak mahu jadi seperti sekarang ini... ─ Abang Viva
Abang Viva bersama kereta yang dibawa dalam misi menyelamat mangsa banjir. Foto MyMetro, Nuraliawati Sabri

Menurut Azwan, 29, niatnya sepanjang 10 hari turun membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang bukan untuk meminta balasan mahupun penghargaan sebaliknya dilakukan atas dasar ikhlas ingin membantu mereka yang ditimpa musibah.

Katanya anak bongsu daripada tiga beradik itu, keputusan pergi membantu mangsa banjir dibuat secara spontan dan selepas meminta izin daripada orang tuanya, dia terus bertolak dari Melaka ke Puchong.

"Apabila terbaca ramai mangsa banjir terkandas, terus terdetik kenapa saya yang mempunyai bot tidak turun membantu menyelamatkan nyawa dan daripada situ saya membuat keputusan pergi membantu apa yang termampu.


"Perancangan awalnya saya ke Puchong hanya untuk sehari saja tetapi apabila melihat keadaan yang teruk saya kemudian ubah fikiran untuk terus menyambung misi menyelamat serta membantu lebih ramai lagi dan Alhamdulillah urusan cuti turut dipermudahkan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Pengkalan Indah, di sini.

Menurutnya, sumbangan daripada bot kecilnya tidaklah seberapa berbanding dengan individu lain yang turun sama membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

"Kalau difikirkan sumbangan saya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan orang lain. Ada yang saya kenal sanggup datang dari Pulau Pinang dan sewa lori untuk membawa bot nelayan bagi membantu mangsa banjir.

"Sepanjang misi ini walaupun kami 'team rescue' tidak saling mengenali tetapi kami semua saling bekerjasama dan membantu menyelamatkan mereka yang terkandas," katanya.

Dia yang bekerja sebagai pemandu jentera berat berkata, pengalaman sepanjang misi menyelamat mangsa banjir adalah sesuatu yang amat berharga dan meninggalkan kesan mendalam buat dirinya kerana tidak pernah terfikir akan berdepan situasi getir seperti itu.

"Sebenarnya saya tidak ingat berapa ramai mangsa yang saya selamatkan tetapi apa yang amat menyedihkan ketika menyelamatkan bayi baru lahir dan ibunya yang berada di bumbung, mujurlah mereka selamat. Apa yang membuatkan hati tersentuh apabila mendengar jeritan meminta tolong ketika memasuki kawasan banjir.

"Kerja menyelamat juga agak mencabar dan menyentuh emosi apabila kami perlu 'pisahkan' ahli keluarga kerana situasi ketika itu perlu dahulukan warga emas dan kanak-kanak. Ketika itu saya terfikir kalaulah situasi itu berlaku kepada keluarga sendiri," katanya.

Azwan berkata, sepanjang misi menyelamatkan itu dia hanya berehat dan tidur setengah atau sejam saja kerana masa dihabiskan membawa keluar seberapa ramai mangsa yang terperangkap.


"Boleh dikatakan masa seharian dihabiskan di atas bot saja kerana apa yang difikirkan untuk membawa mereka yang terkandas ke tempat selamat kerana ketika itu mereka sudah terputus bekalan makanan dan berlindung di bumbung.

"Selepas ini, andai kata situasi sama berlaku lagi InsyaAllah saya akan bergerak sama seperti ini kerana orang ramai sudah memberikan kepercayaan dan amanah untuk saya," katanya.

Sumber: MyMetro


Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan