MELBOURNE: Seorang wanita Australia, Erin Patterson, yang disabitkan kesalahan membunuh tiga individu menggunakan cendawan beracun, mendakwa berlaku "ketidakadilan dalam sistem kehakiman" ketika perbicaraannya, menurut dokumen mahkamah yang didedahkan semalam.
![]() |
| Erin Patterson yang dituduh membunuh tiga individu dengan hidangan ‘beef wellington‘ yang dicampur cendawan beracun. - Foto REUTERS |
Patterson, 51 tahun, dihukum penjara seumur hidup dengan peluang parol tahun ini selepas didapati bersalah kerana menghidangkan beef Wellington yang dicampur cendawan beracun kepada ibu bapa, ibu saudara dan bapa saudara kepada bekas suaminya ketika jamuan makan tengah hari di rumahnya pada 2023.
Tiga daripada mereka meninggal dunia akibat keracunan itu.
Media tempatan termasuk ABC dan Sydney Morning Herald melaporkan bahawa rayuan Patterson terhadap sabitan bersalahnya telah difailkan dan diterima oleh Mahkamah Rayuan.
Dalam dokumen rayuan yang dikemukakan, peguam Patterson mendakwa berlaku beberapa kejadian ketidakadilan sepanjang perbicaraan, yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia.
Peguamnya berkata, berlaku "ketidakteraturan serius" semasa juri diasingkan (jury sequestered), yang didakwa menjejaskan integriti keputusan sabitan, namun tidak menjelaskan secara terperinci perkara itu.
Selain itu, peguamnya turut menuduh pihak pendakwa menjalankan soal balas yang tidak adil dan menindas, serta mendakwa ada bahan bukti yang diterima oleh hakim tidak relevan dengan kes berkenaan, manakala beberapa bukti penting tidak dibenarkan dibentangkan di mahkamah.
Patterson juga memohon supaya beliau tidak perlu hadir secara fizikal di mahkamah sekiranya pendengaran lisan bagi rayuannya diteruskan.
Patterson dijatuhi hukuman pada September lalu, dan hakim memutuskan beliau layak memohon parol selepas menjalani 33 tahun penjara. Namun, pihak pendakwa memfailkan rayuan terhadap hukuman itu yang dianggap "terlalu ringan."
Sepanjang perbicaraan selama lebih dua bulan, Patterson tetap mempertahankan bahawa hidangan beef Wellington itu tercemar secara tidak sengaja dengan cendawan beracun jenis death cap iaitu kulat paling berbahaya di dunia.
Bagaimanapun, juri seramai 12 orang pada bulan Julai lalu mendapati Patterson bersalah atas tuduhan membunuh ibu bapa bekas suaminya, Don dan Gail Patterson, serta ibu saudaranya, Heather Wilkinson, di rumahnya di Leongatha, negeri Victoria.
Beliau turut disabitkan atas tuduhan cubaan membunuh Ian Wilkinson, suami kepada Heather. - AFP.

0 Ulasan