Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Kehilangan paderi Koh: Mahkamah perintah kerajaan bayar RM10,000 sehari

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga paderi Raymond Koh bermula dari tarikh beliau diculik sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.

Raymond Koh ialah seorang paderi Kristian dari Malaysia yang diculik secara terbuka di Petaling Jaya pada 13 Februari 2017 - Gambar Fail

Hakim Datuk Su Tiang Joo yang membenarkan saman dikemukan keluarga Koh, dalam penghakiman hari ini memutuskan kerajaan dan polis bertanggungjawab di atas kehilangan lelaki itu yang dilaporkan diculik pada 13 Februari 2017.

Tanggungjawab itu membabitkan kecuaian, penyalahgunaan kuasa awam, pelanggaran tanggungjawab statutori dan pencabulan kebebasan asasi dalam kes kehilangan lelaki berkenaan.

Tiang Joo memutuskan, satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terbabit dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut 'satu arahan' lapan tahun lalu.

Koh diculik ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya dan sehingga kini, beliau sudah hilang selama 3,188 hari.

Beliau yang juga pengasas Badan Bukan Kerajaan (NGO) Harapan Komuniti, diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada 13 Februari 2017 ketika dalam perjalanan ke rumah seorang rakan.

Isteri Koh, Susanna Liew, memfailkan saman itu terhadap polis dan kerajaan berhubung dakwaan pembabitan kerajaan dalam kehilangan suaminya dan cara pihak berkuasa menyiasat kes terbabit.

Dalam penghakimannya, Tiang Joo memerintahkan PDRM menjalankan semula siasatan kehilangan Raymond berdasarkan dapatan Pasukan Petugas Khas dan menyerahkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap dua bulan.

Beliau turut mengarahkan Ketua Polis Negara menyinggugurkan empat pegawai polis yang terbabit dalam siasatan terdahulu dan digantikan dengan pegawai lain yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan kes berkenaan.

Tiang Joo yang membacakan penghakimannya, berkata berdasarkan imbangan kebarangkalian, sekurang-kurangnya seorang atau lebih daripada defendan bertindak secara langsung atau tidak langsung dalam penculikan dan kehilangan paksa Raymond.

Menurut hakim itu, kesimpulan bahawa berlakunya pembabitan pihak berkuasa adalah kukuh dan meyakinkan, dan defendan gagal memberikan penjelasan yang boleh menafikan pembabitan berkenaan.

Beliau berkata, mahkamah mendapati keadaan sekitar penculikan, tindakan pegawai polis tertentu seperti dinyatakan dalam laporan Pasukan Petugas Khas, penyembunyian maklumat dan persamaan dengan kehilangan Amri, secara keseluruhannya menyokong hujahan plaintif.

Katanya, tindakan pihak berkuasa bukan sahaja melanggar hak asasi di bawah Perkara 5 (kebebasan diri) dan 8 (kesamarataan) Perlembagaan Persekutuan, malah membuktikan berlakunya penyalahgunaan kuasa awam oleh beberapa pegawai kanan polis.

"Kegagalan polis menjalankan siasatan bermakna dalam tempoh panjang walaupun mempunyai akses awal kepada maklumat penting adalah satu bentuk pengabaian tanggungjawab statutori di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis 1967.

"Sikap sambil lewa dan tindakan menyembunyikan maklumat daripada plaintif mengukuhkan dakwaan bahawa pegawai terbabit bertindak dengan niat jahat dan melampaui batas kuasa mereka," katanya.

Tiang Joo berkata, mahkamah mendapati kehilangan Koh dilakukan secara terancang, terkoordinasi dan bukan serangan rambang, berdasarkan bukti rakaman kamera litar tertutup dan keterangan saksi yang menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh kenderaan dan beberapa individu bertopeng terbabit dalam penculikan itu.

Beliau berkata, modus operandi penculikan yang pantas dan tersusun termasuk kegagalan pihak polis mendedahkan pemilikan kenderaan Toyota Vios berwarna emas yang digunakan, jelas menunjukkan berlakunya konspirasi di kalangan pegawai berkuasa.

Katanya, tindakan seperti penyembunyian maklumat, kegagalan menyiasat dan usaha mengalihkan fokus siasatan dinilai secara keseluruhan, menggambarkan pola tindakan terancang bagi mencapai objektif yang menyalahi undang-undang. - BH Online



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan