Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

“Tiga hari tak makan... Maaf, saya pinjam dulu duit tabung masjid RM7.65”

Sebuah nota tulisan tangan yang ditinggalkan di tabung sebuah masjid mendapati seorang pelajar mengaku ‘meminjam’ wang RM7.65 daripada tabung berkenaan kerana tidak makan selama tiga hari.

Nota pinjam duit tabung masjid
Gambar nota pinjam duit tabung masjid yang tular di media sosial

Nota berkenaan yang bermula dengan ucapan ‘Assalamualaikum semua’ menyentuh hati ramai selepas ia tular di media sosial, dan pelajar itu menjelaskan tindakannya bukan kerana mahu mencuri, tetapi semata-mata untuk mengisi perut yang kosong.

“Saya pinjam duit tabung masjid RM7.65. Maaf, saya dah tiga hari tak makan sebab saya tak ada duit,” katanya.

Pelajar itu turut memaklumkan bahawa dia akan menggantikan semula wang tersebut.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat saya akan ganti balik. Saya salah seorang pelajar kolej ni. Terima kasih. ‘May Allah bless all of u’. Doakan saya kuat,” ujarnya.

Hantaran mengenai kejadian itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai dan rata-ratanya sebak serta bersimpati dengan nasib pelajar berkenaan, malah ada yang menganggap tindakan itu sebagai bukti masih ada insan berpegang pada nilai amanah walaupun dalam kesempitan.

Selain itu, ramai turut menyeru pihak institusi pengajian tinggi (IPT) atau masjid terbabit membantu individu tersebut.

“Walaupun dia lapar dan terdesak, dia masih ada iman untuk tulis nota dan janji nak ganti balik. Moga Allah murahkan rezeki dia,” kata Abdul Kareem.

“Adik ini mungkin sangat terpaksa untuk isi perut yang berlapar. Moga pihak terlibat tampil bantu adik ini,” kata Nuraisyira.

Tidak kurang juga, terdapat pengguna media sosial mencadangkan agar pihak masjid menubuhkan tabung khas bagi membantu pelajar atau golongan memerlukan yang berada dalam situasi sama, agar tidak perlu mengambil langkah terdesak pada masa hadapan.

“Kalau ada satu tabung khas untuk mereka yang memerlukan ambil dan beli makanan, mungkin lebih baik. Tapi tetap perlu di kawal elak ada ambil kesempatan. Tapi memang ramai adik-adik, anak-anak di universiti ikat perut kerana tak cukup wang,” kata Fadillah Annur.

“Kadang-kadang kita lupa, ada anak muda yang belajar jauh dari keluarga, tiada duit dan malu nak meminta. Kisah ni sepatutnya buka mata semua pihak,” kata seorang lagi pengguna. – Kosmo.



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan