Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

1.1 juta pekerja berisiko terjejas jika tak runding tarif AS, kata Tengku Zafrul

Kira-kira 1.1 juta pekerja daripada lebih 7,700 syarikat Malaysia yang mengeksport ke Amerika Syarikat (AS) berisiko terjejas jika tidak berunding dengan negara itu berhubung isu tarif.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz
Tengku Zafrul Aziz berkata tarif tinggi seperti kadar 25% diumum pada 7 Julai jika tidak ditangani melalui rundingan dijangka beri kesan kepada permintaan produk Malaysia. (Gambar Bernama)

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berkata nilai perdagangan Malaysia dengan AS mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15.4% kepada RM270.88 bilion antara Januari hingga September, berbanding RM234.68 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, berdasarkan jumlah dagangan yang besar itu, sebarang perubahan dalam dasar perdagangan AS khususnya pengenaan tarif timbal balas terhadap Malaysia akan memberi kesan langsung kepada ekonomi dan kepentingan negara jika kerajaan tidak menanganinya secara berhemah menerusi rundingan.

Menurutnya, tarif yang tinggi seperti kadar 25% diumumkan pada 7 Julai, jika tidak ditangani dengan bijak melalui rundingan, dijangka memberi kesan langsung kepada permintaan produk Malaysia.

“Ia termasuk boleh menjadikan barangan negara kurang kompetitif di pasaran AS serta membawa kepada penurunan permintaan, keuntungan lebih rendah dan berisiko terhadap pengurangan tenaga kerja jika tidak diurus dengan baik.

“Mengambil kira kepentingan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, kerajaan telah mengambil langkah strategik dengan memilih pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dalam menangani isu tarif timbal balas AS termasuk pendekatan berasaskan rundingan diplomasi perdagangan.

“Pendekatan ini telah membuahkan kejayaan apabila rundingan dimuktamad dan ditandatangani antara perdana menteri dan presiden AS pada 26 Okt di mana tarif timbal balas yang dikenakan pada 1 Ogos 2025 pada kadar 19% telah dikekalkan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), yang minta kementerian menyatakan kesan perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS daripada tarif baharu diumumkan Presiden Donald Trump dan berapa syarikat terlibat.

Tengku Zafrul berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan, dianggarkan lebih 7,700 syarikat Malaysia terlibat dalam aktiviti eksport ke AS pada 2024, merangkumi kira-kira 1.1 juta pekerja, dengan barangan elektrik dan elektronik (E&E) sebagai penyumbang utama.

Katanya, jika Malaysia mengambil pendekatan tidak berunding atau mengenakan tindakan balas tarif terhadap AS, ia boleh memberi impak negatif dan menjejaskan pasaran eksport bernilai RM198.65 bilion merentas pelbagai sektor yang menyokong ekonomi Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain menjejaskan jutaan pekerja tempatan.

“Ekonomi negara berisiko terjejas apabila syarikat tempatan dan asing yang beroperasi di Malaysia mengambil langkah mengurangkan kos operasi, terutamanya dengan mengurangkan tenaga kerja atau menangguhkan peluasan pelaburan.

“Lebih memudaratkan sekiranya pelabur memindahkan operasi syarikat ke negara lain yang dikenakan tarif timbal balas lebih rendah atau menawarkan persekitaran pelaburan lebih kondusif. Ini secara langsung akan menjejaskan rantaian bekalan tempatan, khususnya PKS yang menjadi pembekal kepada industri eksport terutamanya ke AS,” katanya.

Malaysia memperoleh pengurangan kadar tarif perdagangan kepada 19% berbanding 25% sebelum ini.

Perkara itu disahkan selepas Trump menandatangani satu perintah eksekutif bagi mengubah kadar tarif timbal balas ke atas beberapa negara. - FMT



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan