Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Rumah hampir musnah, wanita cedera parah, tong gas memasak meletup di dapur

TASEK GELUGOR: Seorang wanita parah selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena, di sini.

Rumah hampir musnah, wanita parah, tong gas memasak meletup di dapur
Keadaan dalam rumah mangsa di Taman Sena Permai, Pokok Sena selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup pagi tadi. (Gambar Bernama)

Kejadian berlaku kira-kira 8 pagi tadi ketika Siti Hajar Hanis Mohd, 26, dikatakan mahu menghidupkan dapur gas untuk memasak.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor, Mohamad Hazam Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.13 pagi dan setiba pasukannya di lokasi, Siti Hajar yang didapati melecur hampir separuh badan telah dibawa keluar dari rumahnya oleh orang awam.

“Kejadian menyebabkan rumah teres dua tingkat didiami wanita itu rosak teruk dan dia dihantar ke Hospital Kepala Batas, di sini untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihak bomba seterusnya menjalankan pemantauan dan kawalan bagi memastikan tiada letupan susulan, manakala punca serta anggaran kerugian sedang disiasat.

Katanya, letupan itu turut mengakibatkan sebuah kereta dan motosikal yang diletakkan di ruang hadapan rumah itu mengalami kerosakan.

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Haziq Mohd, 25, berkata dia dan isterinya berada dalam bilik tidur di tingkat atas rumah itu, sebelum tiba-tiba terdengar letupan kuat serta siling bilik terjatuh.

“Pada masa sama, saya dengar kakak (Siti Hajar) menjerit minta tolong. Saya dan isteri terus turun dan mendapati dia dalam keadaan terbakar…kami terus bantu padamkan kebakaran di badannya sebelum bawa kakak keluar dari rumah, seterusnya ke hospital.”

Katanya, Siti Hajar dilaporkan kritikal, namun dalam keadaan stabil, selain pemeriksaan awal doktor mendapati dia melecur lebih 69% di bahagian badan.

“Ibu dan ayah berada di kampung, saya dan isteri pula baru berkahwin Sabtu lepas dan malam tadi kami tiba di rumah. Mujur kami balik, kalau kami tiada di rumah, tidak tahu bagaimana keadaan kakak seorang diri di rumah.

“Memang rutin kakak akan masak setiap pagi kerana dia bekerja dari rumah, kami harap kakak cepat baik kerana dia akan akad nikah pada 22 Jan nanti dan kenduri kami akan diadakan serentak pada 28 Jan, tetapi semua kini bergantung pada keadaan kesihatan kakak.”



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan