Penceramah bebas ini dakwa minum susu berlebihan boleh mengundang kutu. Beliau adalah Siti Afifah Shahbudin sekali lagi menarik perhatian orang ramai gara-gara mendakwa minum susu berlebihan boleh mengundang jangkitan kutu.
Tangkap layar video TikTok penceramah Siti Afifah Shahbudin yang mendakwa minum susu berlebihan boleh mengundang kutu. |
Video yang dimuat naik di akaun media sosialnya mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang rata-rata menyoalkan kredibilitinya dan kesahihan maklumat tersebut.
“Ramai orang tidak tahu, antara punca kutu ialah minum susu yang berlebihan,” kata Siti Afifah dalam video tersebut.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat tontonan lebih 27,000, 240 tanda suka dan 143 perkongsian.
Di ruangan komen, ramai yang kelihatan tidak percaya akan maklumat yang dikongsi kerana meragui kredibiliti Siti Afifah yang bukannya seorang doktor kesihatan atau pakar pemakanan untuk bercakap tentang topik berkenaan.
Tangkap layar komen TikTok sebahagian netizen terhadap video penceramah Siti Afifah Shahbudin yang mendakwa minum susu berlebihan boleh mengundang kutu. |
“Kejap pakar makanan, kejap ustazah, kejap doktor,” kata @khairuddintaha590
Dalam pada itu, ramai juga yang berkata mereka tidak pernah mengalami situasi dijangkiti kutu hanya kerana minum susu berlebihan selama ini.
“Alhamdulillah saya dah berumur, selalu minum susu tidak ada pula kutu,” kata @suhainaza.
Terdahulu, Siti Afifah Shahbudin pernah tular di media sosial gara-gara lantang melabelkan golongan suami sebagai dayus kerana membenarkan doktor lelaki melihat kemaluan isteri ketika menyambut kelahiran bayi. – Kosmo!
0 Ulasan