PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memberi isyarat seolah-olah mahu angkat kaki meninggalkan skuad Sang Penyu sebaik kontraknya berakhir bulan ini apabila secara berterus-terang mengkritik pihak pengurusan.
Nafuzi Zain telah berjaya membawa Terengganu FC (TFC) menempah slot saingan separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan KL City dengan agregat 4-1 kelmarin. |
Jurulatih berpotensi berusia 44 tahun itu meluahkan rasa kecewa dan terkilan dengan cara pengurusan TFC mengendalikan tawaran lanjutan kontraknya yang disifatkan kurang profesional.
“Semuanya ‘bagaikan melepaskan batuk di tangga’ kerana sehingga hari ini saya tidak dapat berkomunikasi secara bersemuka (dengan pengurusan TFC) untuk membincangkan hala tuju, persiapan dan perancangan musim hadapan.
“Paling saya kesal, surat tawaran lanjutan kontrak yang bertarikh 27 Oktober lalu hanya diterima dua hari kemudian dengan diserahkan ‘kitman’ pasukan di padang latihan,” katanya.
Dalam saingan peringkat suku akhir Piala Malaysia, TFC terus cemerlang menewaskan juara bertahan, KL City 3-1 sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 4-1.
Nafuzi berkata, penggunaan ‘kitman’ sebagai orang tengah seakan satu penghinaan dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana kelab bola sepak profesional di negara ini.
Jelas bekas penyerang Terengganu terbabit, sekiranya benar pengurusan TFC berat hati untuk mengekalkannya pada musim depan, ia harus dilakukan secara lebih terhormat.
“Apapun saya akan serah jawapan (status penerimaan kontrak lanjutan) pada esok (semalam). Apa jua keputusan nanti, ia adalah terbaik untuk semua pihak.
“Saya jamin kepada semua penyokong tegar TFC, apa juga keputusan itu, persiapan kami tidak akan terjejas. Saya janji untuk membawa skuad ini melangkah ke final Piala Malaysia,” katanya.
Nafuzi menegaskan faktor gaji bukan isu, tetapi beliau mengharapkan sumbangan barisan kejurulatihan dan pemain TFC lebih dihargai setelah berjaya mara ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan muncul naib juara Liga Super dan Piala FA musim ini.
Jurulatih kelahiran Kelantan itu memberitahu, beliau juga kecewa pandangan beliau tidak pernah diambil kira dalam penetapan Indeks Prestasi Utama (KPI) skuad dan ia sudah berlarutan sejak beberapa musim lalu.
Sumber: Kosmo!
0 Ulasan