Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, menggelar dirinya sebagai “reformis Umno”, selain mendakwa parti itu sudah “sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan”.
Khairy Jamaluddin berkata, pembersihan Umno dan BN perlu dilakukan sambil menyifatkan dirinya bukan ‘yes man’ sehingga berkemungkinan dihantar ke kubu kuat pembangkang untuk bertanding |
Katanya, justeru beliau mahu mengembalikan Umno menjadi wadah perjuangan yang boleh dibanggakan orang Melayu seperti satu ketika dulu.
Beliau berkata, sehubungan itu, perkara pertama perlu dilakukan adalah memenangi Sungai Buloh dan seterusnya memastikan Ismail Sabri Yaakob kembali menjadi perdana menteri.
“Cuma Umno (kini) dah sesat, dan kena kembali ke pangkal jalan. Kena ‘fix’ (perbaiki) balik Umno ni lagi, perbetulkan Umno. Dan saya bukan ‘yes man’.
“Pertama, saya nak menang pilihan raya ini, nak pastikan Ismail Sabri kembali menjadi perdana menteri, selepas itu kita bersihkan balik Umno dan BN, kita cuci balik.
“Saya seorang reformis dalam Umno, tak boleh kunci mulut, sebab itu (agaknya) saya dihantar ke Sungai Buloh,” katanya menurut Astro Awani.
Menteri kesihatan itu mengakui bertanding di Sungai Buloh merupakan cabaran terbesar dalam karier politiknya, selain menyatakan beliau bukan seperti pemimpin lain dalam Umno yang hanya berani memilih bertanding di kawasan selamat.
“Buat kali pertama, ada wakil daripada parti saya yang memegang jawatan di dalam Jemaah Menteri, yang berani untuk bertanding (di kawasan tidak selamat) di Selangor.
“Selama ini tokoh besar dalam parti saya selalu cuba, dan memilih kawasan yang selamat. Sebab itu tidak ada saingan yang hebat di Selangor. Kalau dulu yang menang Tan Sri Noh Omar saja. Itu pun di Tanjung Karang.
“Nak datang sedikit bandar macam Sungai Buloh tak ada siapa yang berani. Kuala Selangor pun tiada yang berani, kecuali Tengku Zafrul pergi ke Kuala Selangor. Walaupun ada sedikit kenyataan saya dan presiden (yang berbeza), akhirnya saya juga yang pilih untuk lawan di sini,” katanya.
0 Ulasan