Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Bella cedera bukan sebab kemalangan atau perbuatan sendiri tapi disyaki didera — saksi

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat kanan semalam memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa kecederaan dialami remaja perempuan sindrom Down, yang dikenali sebagai Bella, bukan disebabkan kemalangan atau perbuatannya sendiri sebaliknya disyaki didera.

Foto: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, Gambar kecil, Bella
Foto: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, Gambar kecil, Bella

ASP Rohaini Baharom daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata ini berdasarkan rakaman percakapan dua doktor Hospital Kuala Lumpur yang merawat Bella iaitu Dr Nizam Malik Bali Mohamed serta Dr Sheshadri Sridar.

“Daripada siasatan saya, pakar pediatrik Dr Nizam Malik dalam keterangannya memberitahu semasa beliau membuat pemeriksaan terhadap Bella, ada kesan kecederaan parut baharu dan lama di bahagian tubuh badan mangsa dan berpendapat kecederaan itu bukan disebabkan kemalangan tetapi disyaki ada unsur penderaan,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun itu.

Beliau berkata Dr Sheshadri turut memaklumkan hasil pemeriksaannya terhadap Bella mendapati banyak kesan parut baharu dan lama selain kulit baharu tumbuh pada badan mangsa.

“Dr Sheshadri juga menyatakan kecederaan adalah disebabkan benda panas seperti minyak panas, air dan objek panas atau puntung rokok. Kecederaan pada Bella bukan disebabkan kemalangan atau perbuatan sendiri dan kecederaan itu berlaku dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Rohaini juga berkata doktor psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan pula memaklumkan Bella merupakan seorang kanak-kanak sindrom Down yang tidak mempunyai masalah mental dan boleh bertutur sepatah-sepatah.

Kepada soalan peguam Mohammad Farhan Maaruf, yang mewakili Siti Bainun, saksi itu berkata kecederaan Bella bukan disebabkan kemalangan tetapi disyaki penderaan berdasarkan keterangan pakar perubatan yang merawat mangsa.

"Hasil siasatan mendapati ada berlaku penganiayaan atau penderaan ke atas Bella," katanya yang turut menafikan dakwaan peguam bahawa siasatan kes itu adalah berat sebelah.

BaCa: “Tertuduh simbah air panas dekat luka, paksa makan najis” – kata saksi kes Adik Bella

Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 26 Oktober ini. - BERNAMA



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan