PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib Razak untuk memasukkan keterangan baharu dalam rayuannya untuk menggugurkan sabitannya dalam kes dana RM42 juta SRC International.
Najib Razak memohon untuk mengemukakan keterangan baharu bagi menggugurkan sabitannya dalam kes dana RM42 juta SRC International. (Gambar Bernama) |
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, permohonan untuk mengemukakan keterangan tambahan itu tidak memenuhi peruntukan undang-undang.
“Kami mendapati permohonan ini tidak memenuhi peruntukan undang-undang.
“Tiada kesalahan yang membolehkan ia dirayu,” katanya.
Turut sama bersidang adalah Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Zawawi Salleh.
Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak melihat bagaimana bukti yang dikatakan membabitkan ahli keluarga Zeti Akhtar Aziz yang didakwa menerima dana 1MDB daripada Low Taek Jho (Jho Low) relevan dengan rayuan Najib berhubung SRC International.
Pada Julai 2020, Najib disabitkan bersalah terhadap kesemua tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana SRC International sebanyak RM42 juta. Sabitannya dikekalkan Mahkamah Rayuan, pada 8 Disember, tahun lalu.
Mahkamah Rayuan juga mengekalkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. Bagaimanapun, Najib dibenarkan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
“Tuduhan terhadap mereka (Zeti dan keluarga) adalah berkaitan dengan perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi dan bukannya dalam permohonan rayuan ini,” kata Tengku Maimun, merujuk kepada perbicaraan 1MDB Najib.
“Isu ini adalah berkaitan pengetahuan tertuduh mengenai RM42 juta dalam akaun banknya. Kami tidak melihat bagaimana keterangan yang dicadangkan itu berkaitan dengan “pengetahuannya”.
Najib memfailkan permohonan memasukkan keterangan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dan pegawai penyiasat Rosli Hussein atau mana-mana pihak yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, pada saat akhir, sebelum Mahkamah Rayuan dijadual memberi penghakimannya dalam kes SRC International itu.
Beliau berkata, isu dibangkitkan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, belum dapat diputuskan sepenuhnya dan demi kepentingan keadilan memperoleh perbicaraan adil dengan mengemukakan semua keterangan.
vNajib berkata, SPRM pada 19 November 2020, mengesahkan sejumlah RM65 juta dana berkaitan 1MDB berjaya diperoleh semula daripada Cutting Edge Industries Ltd, syarikat berpangkalan di Singapura yang dikawal suami Zeti, Tawfiq Ayman, dan rakannya, Samuel Goh.
Dalam pada itu, berhubung aduan pihak pembelaan yang mana mereka dikatakan tidak diberi masa secukupnya untuk menyiapkan hujahan dalam pendengaran di Mahkamah Rayuan, Tengku Maimun berkata, mereka diberikan kebebasan meneliti nota prosiding dan didapati pihak pembelaan diberikan satu jam 22 minit, manakala pihak pendakwaan diberikan 63 minit.
“Kami mendapati tertuduh tidak mengalami sebarang prejudis dan beliau tidak dihalang haknya untuk didengar,” katanya.
Tengku Maimun berkata mendapati permohonan mengemukakan keterangan baharu “difailkan pada saat akhir”, pada 2 Disember 2021, selepas Mahkamah Rayuan, memaklumkan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan – sebulan lebih awal – keputusan kes SRC International ditetapkan pada 8 Disember.
“Dalam kes ini, berdasarkan fakta dan kronologi, kami mendapati Mahkamah Rayuan sudah menetapkan garis masa bagi permohonan ini.
“Seterusnya, kami juga mendapati ketika pengurusan kes bagi kes SRC International, pihak pembelaan menyatakan mereka mahu memfailkan permohonan itu.
“Selaras dengan tarikh dan garis masa yang sudah ditetapkan, mahkamah tidak keberatan memberikan penangguhan yang kami dapati adalah tindakan budi bicara kehakiman,” katanya.
Sumber: FMT
0 Ulasan