Port Dickson antara destinasi tumpuan buat pengunjung yang meminati acara pantai dan rekreasi air. Sesuai dengan lokasinya yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Kuala Lumpur, ia menjadi pilihan terbaik untuk orang ramai menenangkan fikiran daripada kesibukan bekerja dan hiruk-pikuk di ibu kota.
‘Dah macam pasar malam’ – Orang ramai rasa rimas pantai Port Dickson dipenuhi khemah peniaga |
Walau bagaimanapun, salah satu kawasan tumpuan iaitu di Pantai Teluk Kemang menerima rungutan daripada pengunjung dengan kehadiran khemah peniaga untuk disewakan.
Memetik sumber Harian Metro, salah seorang pengunjung menyatakan kehadiran khemah yang dilihat memenuhi kawasan pantai itu telah menyebabkan hilangnya ‘seri’ pemandangan sepatutnya sebuah pantai.
Selain itu, pengunjung juga mengadu keceriaan pantai Port Dickson hilang dan lebih kepada unsur ‘cari makan’ pengusaha khemah.
Begitu juga dengan pandangan segelintir netizen yang turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan apa yang berlaku di pantai terkenal itu.
“Ingatkan nak bawa anak main pasir pantai, sekali tengok macam pasar malam. Kalau dulu bolehlah buat istana pasir. Harap negeri lain tidak terikut Port Dickson.”
“Pasang sebaris saja okay kot, ini kalau depan belakang khemah dah macam projek rumah teres pula.”
“Sepatutnya pihak PBT menyediakan beberapa khemah kecil di lokasi tertentu secara percuma. Sesiapa yang mahu berteduh di bawah khemah itu boleh berbuat demikian atas konsep ‘siapa dulu, dia dapat’.”
Apa kata PBT?
Kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa, pengunjung sememangnya ramai sempena cuti sekolah dan perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Beliau memaklumkan anggota penguat kuasa MPPD ditempatkan di Pantai Teluk Kemang untuk memantau keadaan lebih-lebih lagi ketika cuti panjang kerana kehadiran orang ramai di pantai itu.
“Keputusan untuk membenarkan peniaga khemah menjalankan perniagaan khemah sekiranya terdapat permintaan daripada pengunjung masih kekal.
“Perkara ini senantiasa dalam pemantauan MPPD dan dijangkakan keadaan akan kembali seperti biasa apabila cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina berakhir pada minggu ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro
0 Ulasan