Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, selamat tiba di Terengganu awal pagi tadi bagi membantu penduduk di negeri itu yang dilanda banjir sejak minggu lalu.
Abang Viva bawa Triton dah tiba di Terengganu, untuk misi bantu mangsa banjir |
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Azwan mengesahkan bahawa dirinya sudah tiba di Pantai Timur menaiki kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang baharu diterimanya, namun, tidak boleh mengulas lanjut kerana sedang dalam misi.
Azwan melalui laman sosial Facebooknya sebelum itu, turut berkongsi keberadaannya di Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu dengan secara siaran langsung.
“Saya dah sampai Terengganu pukul 4.50 pagi, kalau sesiapa ada info kawasan yang masih teruk boleh kongsikan kerana di sini air dah mula surut,” katanya.
Sementara itu, penonton sesi live tersebut dan salah seorang penduduk turut membantu menunjukkan arah perjalanan ke Kuala Berang yang dikatakan kini terjejas teruk.
“Orang ganu (Terengganu) dah tunjuk jalan, depan sana, okey baik,” katanya.
Dalam siaran secara langsung itu juga, dapat dilihat Azwan menaiki Mitsubishi Triton yang dihadiahkan usahawan kosmetik, Wan Siti Aisyah Wan Hasan, bulan lalu.
Dia turut ditemani beberapa individu lain dipercayai kenalannya dan bergerak secara konvoi. Sumber: Utusan
0 Ulasan