Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

“Tak adalah, saya buat untuk kesihatan. Bukan sebab nak kahwin atau apa..” — Lufya Omar

Berbeza dengan sesetengah artis lain yang bertindak menyembunyikan kebenaran, penyanyi dan pelakon, Lufya Omar, 36, memilih mengaku pernah melakukan pembedahan bariatrik demi kepentingan kesihatannya.

Lufya Omar
Soal jodoh, kalau dulu saya mungkin sekat, tapi sekarang diri lebih terbuka. — Lufya Omar

Menurut Lufya, seharusnya tidak perlu wujud perasaan malu untuk membuat pengakuan tersebut kerana percaya sebarang perkongsian yang baik akan mendatangkan manfaat kepada masyarakat.

“Saya tahu, sesetengah artis dan selebriti yang melakukan proses ini ada kepentingan dan cara mereka sendiri. Ada yang tak berani nak beritahu kepada umum.

“Mungkin mereka ada masalah kesihatan tapi tak nak kongsikan sebab rasa malu. Saya pula jenis yang suka berkongsi. Dulu, keluarga pun tak setuju, tapi ini adalah perjalanan diri saya.

“Ya, saya faham, mungkin ada yang tak nak kongsi itu sebab ada pihak yang skeptikal dan katakan proses pembedahan ini haram sedangkan saya sendiri sudah bertanya pada ustaz dan ustazah, ia dibenarkan dalam Islam jika tujuannya untuk kesihatan,”katanya.


Lufya berkata demikian semasa ditemui pada majlis minum petang bersama Pakar Bedah Bariatrik terbaik Asia Pasifik, Dr. Mustafa Mohammed Taher di sebuah restoran di ibu kota, kelmarin.

Selain itu, menceritakan pengalamannya, Lufya mengaku membuat pembedahan tersebut pada awal November lalu setelah menemui kegagalan dengan pelbagai cara dan usaha terdahulu yang dilakukan bagi menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, fokusnya bukan kerana mahu tampil kurus, tetapi kata Lufya ia lebih kepada mengambil berat tentang keadaan kesihatannya yang mula perlahan-lahan menunjukkan petanda kurang baik.

“Saya memang dari kecil ada masalah asma. Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan, saya mula dapati badan mula sakit-sakit dan penyakit asma itu semakin ketara. Jalan sedikit pun jadi mengah, jadi saya pelik.

“Mulanya saya tak perasan perubahan badan yang kian berisi sehinggalah, anak perempuan yang berusia lima tahun menegur. Katanya, ‘kalau mummy kurus, mesti jadi macam patung Barbie’.

“Rasa khuatir jugalah, adakah saya dah gemuk sangat? 85 kilogram rasanya tidaklah terlalu berat, tetapi badan mula rasa sakit-sakit. Saya buat pembedahan ini pun dengan nasihat doktor, dan lama juga ambil masa untuk berfikir,”katanya.

Dalam pada itu, bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) ini menolak andaian bahawa dia terdesak untuk menguruskan badan kerana mahu berkahwin.

Lufya Omar

Katanya, meski sudah lebih setahun hidup menjanda, perkahwinan bukanlah perkara yang menjadi keutamaannya pada waktu ini memandangkan fokus tetap kepada anak tunggalnya, Laana Haura.

“Tak adalah, saya memang buat untuk kesihatan.Bukan sebab nak kahwin atau apa. Nak rasa lebih positif sebab tak ada perempuan yang suka bila dirinya terasa murung apabila mengenangkan sesuatu yang tidak menggembirakan dirinya.

“Soal jodoh, kalau dulu saya mungkin sekat, tapi sekarang diri lebih terbuka. Kalau Allah SWT bagi saya jodoh, InsyaAllah saya terima. Cuma ia tidaklah jadi keutamaan sekarang.


“Anak tetap jadi keutamaan saya. Lagi satu, InsyaAllah, kalau tiada aral dan atas izinNya, saya nak buat kemunculan semula dalam industri. Masih ada yang belum tercapai dalam bidang ini dan saya nak teruskan hasrat itu,”katanya.

Lufya mendirikan rumah tangga dengan seorang doktor perubatan estetik, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada 26 November 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan.

Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak mampu bertahan lama dan kedua-duanya membuat keputusan untuk berpisah pada tanggal 17 Jun 2020.

Sumber: FMT.


Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan