Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Khairy balas kritikan King Sing, 'Lockdown' Malaysia tak boleh ikut cara China

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, membalas kritikan dilontarkan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, terhadap beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam mengendalikan pandemik COVID-19 di negara ini.

Khairy balas kritikan King Sing, 'Lockdown' Malaysia tak boleh ikut cara China
Khairy membalas kritikan dilontarkan King Sing (gambar kecil) terhadap beliau dan Dr Noor Hisham dalam mengendalikan pandemik COVID-19 di negara ini.

Dalam penjelasannya, Khairy mengakui pendekatan China seperti dibangkitkan King Sing, berkesan dalam mengawal penularan COVID-19, namun strategi negara itu adalah pembendungan atau sifar COVID, bermaksud sekatan pergerakan dibuat sepenuhnya walaupun hanya ada tiga kes positif.

Namun, beliau menegaskan yang Malaysia tidak mampu melaksanakan pendekatan sama seperti dilaksanakan China berikutan kekangan ekonomi dan aspek kebajikan rakyat.

"Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk 'lockdown'. Strategi kita adalah mitigasi.

"Ini bermaksud, kita mengurus kes positif dengan berkesan, meningkatkan vaksinasi, jaga prosedur operasi standard (SOP), #TRIIS (test, report, inform, isolate and seek) agar kadar kematian, penggunaan unit rawatan rapi (ICU) dan kemasukan ke hospital menurun," kata Khairy melalui Twitternya, hari ini.

Dalam ciapannya juga, Khairy mempertahankan Dr Noor Hisham dalam menggalas tanggungjawabnya.

"Dr Noor Hisham mendapat sokongan penuh daripada saya untuk menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia," tegasnya.

Sebelum ini, King Sing mempersoalkan sama ada Khairy mempunyai strategi jelas untuk berdepan dengan senario terburuk, selain memuji pendekatan yang dilaksanakan China dalam menangani wabak itu.


Beliau turut mempersoalkan kelayakan Dr Noor Hisham, sama ada beliau ialah individu terbaik untuk menerajui usaha negara memerangi varian Omicron kerana Dr Noor Hisham dikatakan ialah seorang pakar bedah dan bukan pakar kesihatan awam.

Kritikan King Sing terhadap KKM bukan perkara baru, kerana pada November 2020, beliau pernah mengkritik Dr Noor Hisham ketika perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat apabila menyifatkan Dr Noor Hisham sebagai individu 'takut mati' kerana gagal turun padang khususnya ke Sabah ketika pandemik COVID-19 sedang menular, selain hanya mencari publisiti menerusi sidang media yang dikendalikan setiap hari.

Beliau bagaimanapun kemudian memohon maaf atas kenyataannya itu, selepas didesak banyak pihak terutama Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sumber: BH Online


Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan