Seorang lelaki menerima dos vaksin Covid-19 di Jakarta |
Lonjakan kes itu mendorong kerajaan merayu penduduk menangguhkan perancangan ke luar negara.
Kementerian Kesihatan memaklumkan, jumlah jangkitan mencecah 414 kes sehingga Sabtu lalu, berbanding 136 kes pada akhir Disember.
Kementerian itu berkata, kebanyakan kes adalah dalam kalangan warga Indonesia yang sudah divaksin sepenuhnya.
"Elakkan daripada tidak berjaga-jaga dan jangan biarkan gelombang ketiga melanda kita kerana penyebaran Omicron di Indonesia terus meningkat sejak kes pertama disahkan pada 16 Disember tahun lalu," katanya.
Negara itu kerap menyaksikan lonjakan kes jangkitan selepas musim cuti, termasuk cuti Aidilfitri Mei lalu, apabila jutaan penduduknya tidak menghiraukan amaran rasmi dan melakukan perjalanan di seluruh kepulauan yang luas itu.
Jumlah jangkitan dan kematian kemudian melonjak, memaksa hospital dan pekerja kesihatan bekerja lebih masa manakala bekalan oksigen berkurangan sehingga tahap kritikal.
Ia berlaku ketika gelombang coronavirus kedua di negara itu, selepas gelombang berskala lebih kecil pada Januari dan Februari.
Hari ini, banyak kawasan di Indonesia sudah secara beransur-ansur kembali normal selepas negara itu berjaya mengawal pandemik.
Sementara itu, Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), agensi Indonesia yang berperanan seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS), dijangka mengumumkan kelulusan kecemasan lima vaksin COVID-19 hari ini, sebagai suntikan penggalak yang dijadualkan bermula Rabu ini.
Ia akan dilaksanakan bagi bandar dan wilayah yang mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus liputan vaksinasi.
Lima vaksin berkenaan adalah CoronaVac oleh Sinovac China, Zifivax (Anhui Zhifei Longcom China), Vaxzevria (AstraZeneca, Britain), Spikevax (Moderna, AS) dan Comirnaty (Pfizer, AS). - AGENSI
0 Ulasan