Cikgu Farrah sentiasa mengambil berat mengenai kehidupan muridnya |
Apa tidaknya, Farrah Nurashikin Juhari, 40, sentiasa mengambil berat mengenai kehidupan muridnya dan tidak lokek membantu mereka yang berdepan masalah.
Farrah Nurashikin yang kini mengajar di sebuah sekolah rendah di Alor Setar, Kedah berkata, kebanyakan muridnya bukan berasal daripada keluarga yang senang.
"Jadi bila saya tengok ada murid kesusahan, saya akan cuba sedaya mungkin untuk membantu terutama untuk mendapatkan pendidikan di sekolah.
"Ini bukan kali pertama saya membantu murid, cikgu lain pun ada membantu namun dengan cara yang berbeza," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, perkongsian Farrah Nurashikin menerusi aplikasi TikTok yang membantu seorang murid mendapatkan pakaian sekolah baharu mendapat maklum balas positif daripada warganet.
Beliau yang sudah 18 tahun bertugas sebagai guru berkata, dia berpegang kepada prinsip mendekatkan diri secara hati ke hati bagi memudahkannya mendidik murid.
Katanya, dia lebih suka bertanya dan mendapatkan maklumat lanjut sekiranya murid mengalami masalah.
Dalam pada itu, beliau turut menangkis tanggapan menjadikan perkongsian video berkenaan muridnya sebagai bahan untuk media sosial.
Katanya, ia bukanlah untuk menarik simpati orang ramai dan meminta dana, namun hanya sekadar perkongsian untuk membuka mata orang ramai bahawa dalam setiap kesukaran yang dihadapi, lebih ada orang yang lebih susah.
"Kebetulan apabila saya berkongsi mengenai murid berkenaan, ramai individu yang menghubungi untuk memberi sumbangan kepada keluarganya.
"Ada yang saya terima, namun ada juga yang saya terpaksa tolak kerana perkongsian saya bukan berniat untuk meminta sumbangan. Jadi esok saya akan membawa mereka untuk membeli pakaian sekolah baharu.
"Apabila diberi keperluan baharu kanak-kanak mesti sangat seronok dan berharap mereka akan lebih bersemangat untuk ke sekolah," katanya.
Sumber: myMetro
0 Ulasan