Terkini

8/recent/ticker-posts

Header Ads Widget

Covid-19: KKM kesan gelombang Omicron subviran XBB, jangka ada peningkatan kes

SEREMBAN, 21 Okt -- Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan berlaku sedikit peningkatan kes COVID-19 untuk beberapa minggu akan datang berikutan pengesanan gelombang kecil subvarian Omicron XBB di negara ini.

Covid-19: KKM kesan gelombang Omicron subviran XBB, jangka sedikit peningkatan kes
Kementerian Kesihatan Singapura sebelum ini dilapor memaklumkan kes COVID-19 di negara itu kembali meningkat sejak sebulan lepas berpunca terutama oleh subvarian Omicron XBB - Gambar hiasan

Menterinya Khairy Jamaluddin menasihati orang ramai supaya tidak bimbang dengan perkembangan itu namun perlu sentiasa berwaspada ketika menjalankan kehidupan harian memandangkan negara masih dalam fasa peralihan ke endemik.

“Kita dah kesan XBB di Malaysia namun setakat ini ia tidak membawa kepada peningkatan dari segi kemasukan ke hospital dan kematian, itu yang menjadi kayu ukur terpenting. Bagi saya kita tengok ada sedikit peningkatan, masing-masing buat penilaian risiko, tiada yang perlu dibimbangkan setakat ini.

“Sejauh mana ia akan meningkat, pegawai saya di KKM sedang membuat unjuran berdasarkan kepada model jangkitan yang kita ada sebelum ini dan minggu depan saya dapat memberi unjuran lebih tepat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan Singapura sebelum ini dilapor memaklumkan kes COVID-19 di negara itu kembali meningkat sejak sebulan lepas berpunca terutama oleh subvarian Omicron XBB dengan gelombang jangkitan XBB dijangkakan memuncak pada pertengahan November ini.

Khairy berkata meskipun kemungkinan berlaku peningkatan kes berkenaan di negara ini, KKM tidak mempunyai perancangan untuk mengembalikan sebarang sekatan termasuk pelaksanaan kembali pemakaian pelitup muka.

“Fasa peralihan ke endemik mesti mengambil kira mutasi virus kepada varian baharu, kalau datang varian baharu tidak dijangkakan yang boleh meningkatkan kebolehjangkitan, kesan dan gejala maka kita akan semak balik (pakai pelitup muka), tetapi setakat ini tidak,” katanya.

Ditanya sama ada KKM mempunyai langkah tambahan diperkenalkan terhadap individu yang berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura, Khairy berkata setakat ini belum ada namun pihaknya sentiasa memantau dan berhubung dengan Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM sudah menghantar cadangan prosedur operasi standard (SOP) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan tiada langkah tambahan atau sekatan diperkenalkan.

“Saya lihat keadaan terkawal jadi kita tak nak apa-apa sekatan, nak buat ceramah, buatlah, cuma kalau rasa tempat sesak pakailah pelitup muka. Sekarang ini lebih kepada pemerkasaan individu. KKM dah bagi cadangan kepada SPR supaya pengundian dapat dijalankan dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, Khairy ketika berucap pada majlis penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia berkata beliau akan mengusulkan supaya program itu dijadikan program kekal kepada mahasiswa sekiranya masih dilantik sebagai menteri.

“Peranti digital tidak lagi jadi kemewahan tapi keperluan. Banyak maklumat mengenai kursus, penyelidikan dan sebagainya terkandung dalam talian. Program ini bukan perbelanjaan tapi pelaburan. Setakat ini ia untuk B40 tapi mungkin akan diperluaskan,” katanya.

Sumber: BERNAMA



Jangan lupa ikuti saluran media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan Whatsapp

Catat Ulasan

0 Ulasan