Abang driver J&T bawa lori ke pantai jadi tanda tanya orang ramai.. Perkongsian video memaparkan ‘kelibat’ sebuah lori daripada syarikat kurier J&T di pesisir pantai, mencuit hati warga maya.
Kehadiran sebuah lori penghantar barang daripada syarikat kurier J&T di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, Johor telah berjaya mencuri perhatian ramai ketika berada di lokasi tersebut. |
Mana tidaknya, di kala orang awam sedang beriadah dan bersantai sambil menikmati hembusan angin petang, lori berkenaan selamba melalui kawasan berpasir yang menjadi laluan kenderaan di pantai tersebut.
Apa yang melucukan, kedengaran suara wanita yang merakamkan video berkenaan sempat melaung bertanyakan bungkusannya, dalam nada gurauan.
“Parcel saya mana bang? Sampai ke laut dia hantar,” jeritnya ke arah lori berkenaan.
Menerusi ruangan komen, pemilik akaun TikTok @syuuu106 memaklumkan insiden lucu itu dirakamkan di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, Johor.
Menurutnya, video berkenaan dirakamkan oleh adiknya sekitar pukul 6.30 petang beberapa hari lalu.
Sehingga kini, video tersebut meraih melebihi 94,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok, malah meriah dengan komen-komen lucu netizen.
Pelbagai andaian yang dibuat mengenai kelibat lori berkenaan dengan ada yang berpendapat, berkemungkinan pemandunya tersilap mengikut arahan pada aplikasi pandu arah sehingga tersesat masuk ke kawasan itu.
“Waze bawa dia sampai ke tepi pantai, Mat!!
“Siapa yang salah letak alamat ni?
“Cari location tak jumpa lagi, itu yang pergi pantai ambil angin dulu,” demikian antara komen netizen.
Malah ada juga netizen dalam nada berseloroh berpendapat kemungkinan lori berkenaan sedang dalam perjalanan menghantar bungkusan yang dipesan ‘makhluk dalam laut’.
“Ikan order oksigen.
“Aquaman order, barang sampai.
“Mermaid order Shopee kot,” seloroh netizen.
Namun ada segelintir daripada netizen memuji syarikat kurier berkenaan kerana efisien dan komited dalam urusan penghantaran barang kepada pelanggan sehingga sanggup menghantar ke mana jua lokasi termasuk pantai.
“Abang J&T hantar parcel sampai ke pantai… bagusnya.
“Kurier teladan… setia dengan customer, hantar barang sampai ke laut!” demikian komen mereka.
Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat berkemungkinan pemandunya mahu menenangkan diri dengan menikmati seketika pemandangan laut.
Tidak kurang juga yang meluahkan kekhuatiran sekiranya tayar lori terbenam di dalam pasir pantai dan terpaksa menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan.
“Jangan jadi macam King Myvi pula,” komen seorang netizen, merujuk kepada insiden yang berlaku beberapa hari lalu di pesisir Pantai Sentosa, Sekinchan, di mana tayar kereta tersebut terbenam di dalam pasir sehingga tular di media sosial.
Kredit: TikTok Syuuu106
0 Ulasan